BERITA TERKINI   Tiga kanak-kanak ditemukan lemas di kolam kumbahan berhampiran sebuah flat di Sibu Jaya, Sibu petang tadi - Bomba | Pengimportan sisa elektronik (e-waste) akan diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak - Azam Baki | Jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memperkukuh penyelarasan, penguatkuasaan berkaitan e-waste - KP SPRM | Kerajaan akan meneliti kemasukan kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) ke Malaysia bagi melindungi ekosistem automotif negara - Johari | Menara Merdeka 118 dilancarkan secara rasmi sebagai MD Nexus pertama di Malaysia - Gobind | 

Kementerian Digital Tumpu Enam Bidang Pacu Transformasi Digital - Gobind

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kementerian Digital memberi tumpuan kepada enam bidang berimpak tinggi bagi mempercepatkan transformasi digital serta memacu agenda digital negara pada separuh pertama tahun ini.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata enam bidang utama itu ialah penjagaan kesihatan, pengangkutan, pertanian, pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penguatkuasaan serta perkhidmatan kerajaan.

“Berdasarkan enam bidang ini, kami akan meneliti bagaimana usaha boleh digerakkan untuk memperkasa rakyat dalam sektor berkenaan supaya mereka memahami, mengakses dan mengguna pakai teknologi sedia ada.

"Ini sekali gus memperlihatkan impak sebenar transformasi digital," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Menara Merdeka 118 sebagai MD Nexus pertama negara, di sini hari ini.

Gobind berkata kerajaan juga perlu membantu merapatkan jurang penggunaan teknologi baharu bagi memastikan inisiatif yang dilaksanakan benar-benar diterjemahkan kepada impak nyata kepada rakyat.

Dengan memberi tumpuan kepada enam bidang berimpak tinggi ini, kerajaan dapat memastikan setiap langkah yang diambil hari ini membawa manfaat yang bermakna kepada masyarakat secara keseluruhan, katanya.

Sementara itu, pengiktirafan MD Nexus merupakan inisiatif MD Location Recognition yang diterajui Kementerian Digital dan dikendalikan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Ia mengiktiraf premis perniagaan berkualiti tinggi dan bertaraf premium yang direka khusus bagi menyokong perniagaan digital, perkhidmatan serta inovasi.

Sebagai MD Nexus pertama Malaysia, Gobind berkata Menara Merdeka 118 melambangkan kemajuan ketara dalam usaha mengintegrasikan teknologi ke dalam ekosistem ekonomi dan sosial negara.

“Pelancaran ini merupakan petunjuk jelas bahawa agenda pendigitalan nasional kini bergerak daripada dasar dan perancangan kepada pelaksanaan sebenar,” katanya.

-- BERNAMA