BERITA TERKINI   Penularan penyakit Tibi libatkan murid sekolah di Kota Tinggi terkawal, tiada arahan penutupan sekolah setakat ini - Exco Pendidikan Johor | Enam murid sekolah di Kota Tinggi disahkan menghidap Tuberkulosis (Tibi) hasil saringan kontak rapat. - Exco Pendidikan Johor | Kerajaan galak pemilik EV memasang pengecas di kediaman kerana kos pengecasan jauh lebih murah - Johari | Pembangunan infrastruktur pengecas EV menghadapi cabaran kos pemasangan yang tinggi sehingga RM210,000 terutama pengecas DC - Johari | Sebanyak 5,624 pengecas awam EV dipasang hingga 31 Dis, 2025, mencapai 56 peratus daripada sasaran keseluruhan - Johari | 

Melaka Terima Pelaburan Lebih RM9 Bilion Bangunkan Pusat Data AI Di Jasin

MELAKA, 4 Feb (Bernama) -- Melaka bakal menerima pelaburan lebih RM9 bilion bagi membangunkan pusat data berteraskan kecerdasan buatan (AI) yang pertama di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Syarikat Victoria Data Centre yang berpangkalan di Hong Kong telah menyatakan hasrat bagi membangunkan pusat data dengan kapasiti kira-kira 100 megawatt (MW) di Jasin di sini dalam masa terdekat.

"Kita akan masukkan (pembangunan pusat data AI) ini dalam kuota pelaburan (negeri) bagi tahun 2025 dan ia juga akan dibentangkan pada mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Hari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) Melaka Siri 1/ 2026 di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.

Program HEBAT berkenaan menerima kehadiran kira-kira 470 pengunjung dengan 271 aduan berjaya diselesaikan pada hari ini, manakala bakinya akan diselesaikan secara berperingkat.

Sementara itu, Ab Rauf turut memaklumkan bahawa projek mega yang dilaksanakan secara berfasa itu melibatkan pembinaan tiga bangunan pusat data dengan kapasiti teknologi maklumat mencecah 96MW.

Katanya, inisiatif berkenaan bakal meletakkan Melaka sebagai destinasi kompetitif bagi infrastruktur digital berteknologi tinggi di rantau ini.

Ab Rauf berkata, kehadiran pelaburan berskala besar itu merupakan hasil perbincangan antara beliau dengan kerajaan China baru-baru ini.

Beliau berkata, ia dijangka memberi impak transformasi yang ketara terhadap landskap ekonomi negeri, khususnya dalam memperkukuhkan ekosistem digital dan pemerkasaan AI.

"Selain memacu adaptasi elemen Industri 4.0, pembangunan ini turut membuka peluang kepada pemindahan teknologi dan penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi bagi penduduk tempatan. 

"Usaha ini secara tidak langsung menyokong aspirasi Melaka untuk menjadi hub inovasi yang mampan," katanya.

-- BERNAMA