BERITA TERKINI   Penularan penyakit Tibi libatkan murid sekolah di Kota Tinggi terkawal, tiada arahan penutupan sekolah setakat ini - Exco Pendidikan Johor | Enam murid sekolah di Kota Tinggi disahkan menghidap Tuberkulosis (Tibi) hasil saringan kontak rapat. - Exco Pendidikan Johor | Kerajaan galak pemilik EV memasang pengecas di kediaman kerana kos pengecasan jauh lebih murah - Johari | Pembangunan infrastruktur pengecas EV menghadapi cabaran kos pemasangan yang tinggi sehingga RM210,000 terutama pengecas DC - Johari | Sebanyak 5,624 pengecas awam EV dipasang hingga 31 Dis, 2025, mencapai 56 peratus daripada sasaran keseluruhan - Johari | 

IOI Properties Jual 50 Hektar Tanah Industri Di Banting Pada Harga RM740.68 Juta

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh IOI Properties Group Bhd (IOIPG), Fortune Growers Sdn Bhd menjual 50 hektar tanah perindustrian di Banting, Selangor kepada Bridge Data Centres Malaysia VIII Sdn Bhd (BDC) pada harga RM740.68 juta. 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata tanah tersebut terletak di Taman Perindustrian IOI @ Banting dan keputusan BDC untuk membeli tanah terlibat bertujuan menyokong pengembangan perniagaan pusat datanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG Datuk Lee Yeow Seng berkata taman perindustrian itu terletak di lokasi yang strategik, dengan akses ke lebuh raya utama dan berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta Pelabuhan Klang. 

Beliau menambah siri Taman Perindustrian IOI, yang ditubuhkan pada 2024, adalah seiring dengan inisiatif negara seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Selangor, penyedia utiliti dan pihak berkuasa tempatan. 

Selain Banting, siri Taman Perindustrian IOI turut melibatkan dua lokasi lain, iaitu taman perindustrian seluas 101 hektar di Melaka dan Taman Perindustrian IOI @ Iskandar Malaysia seluas 445 hektar di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura. 

Dalam pada itu, Lee berkata kumpulan itu merancang untuk membangunkan kemudahan gudang logistik seluas 500,000 kaki persegi di Taman Perindustrian IOI @ Banting dan kemudahan yang sama di Iskandar Malaysia. 

“Kemudahan ini mungkin dipajak untuk tempoh jangka panjang dengan rakan kongsi logistik terpilih.

“Ia merupakan sebahagian daripada strategi pengembangan kami untuk mengukuhkan portfolio pendapatan berulang segmen pelaburan hartanah kami dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” tambahnya. 

--BERNAMA