BERITA TERKINI   politik stabil, hubungan baik dengan negara luar bantu Malaysia perkukuh bekalan minyak dan gas - PM Anwar | Sabah Southern MADANI Link pastikan pembangunan dan kemudahan sampai ke pedalaman Sabah - PM Anwar | Majlis Media Malaysia disaran adakan pertemuan dengan platform media sosial dalam usaha bendung berita palsu - Fahmi | PRN: Jentera PH perlu kekuatan sendiri tanpa bergantung kelemahan musuh atau pihak lain - Fahmi | Kejayaan inovasi diukur berdasarkan keupayaan melindungi agama, kehidupan, daya fikir, keturunan dan harta - Ahmad Zahid | 

Malaysia Akan Terus Berada Pada Landasan Pertumbuhan Positif - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan terus berada pada landasan pertumbuhan yang positif, iaitu berdaya tahan, inklusif dan ditadbir dengan integriti.

Beliau berkata negara hari ini berada pada landasan yang lebih kukuh, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang kira-kira 4.9 peratus pada 2025 manakala inflasi terkawal pada 1.6 peratus.

“Keyakinan pelaburan kembali meningkat selepas Malaysia berada pada kedudukan lebih kukuh, dengan KDNK dijangka berkembang dan inflasi terkawal - petunjuk positif mengenai pengurusan fiskal yang berdisiplin dan langkah kerajaan lebih tegas dalam tadbir urus,” kata beliau dalam ucaptama pada Forum Ekonomi Malaysia 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kemajuan itu bukan secara kebetulan tetapi mencerminkan usaha berterusan untuk memulihkan keyakinan terhadap kewangan awam, kredibiliti institusi dan integriti dalam pelaksanaan kuasa.

“Keyakinan tidak terbina melalui slogan atau langkah jangka pendek tetapi konsistensi, matlamat yang jelas dan jaminan bahawa pembaharuan dilaksanakan secara berterusan.

“Petunjuk ketara keyakinan meningkat semula ialah pengukuhan ringgit. Faktor luaran turut memainkan peranan tetapi mata wang mencerminkan keyakinan terhadap institusi, hala tuju dasar dan kepercayaan bahawa sesebuah negara ditadbir dengan disiplin dan matlamat yang jelas,” kata beliau.

Beliau berkata keyakinan meningkat semula berikutan Kerajaan MADANI mengambil pendirian yang jelas, berprinsip dan tegas dalam soal tadbir urus.

“Tiada toleransi untuk rasuah dan tiada pengecualian untuk mereka yang mempunyai pengaruh. Tanpa akauntabiliti, tidak akan ada kredibiliti dan tanpa kredibiliti, tidak akan ada pertumbuhan yang mampan.

“Kami memperkukuh institusi supaya integriti tidak bergantung pada personaliti tetapi pada sistem. Peraturan perlu kekal manakala pembaharuan perlu berterusan melangkaui kitaran politik,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata peralihan tenaga bukan lagi pilihan tetapi respons praktikal terhadap perubahan pasaran global dan jangkaan yang meningkat.

“Untuk berjaya, pelabur memerlukan peraturan yang jelas, pengeksport dapat membuat penyesuaian dan institusi menyediakan kestabilan. 

“Berdasarkan Parlimen bersedia untuk mempertimbangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim, kami akan meneruskan peralihan ini secara teratur, berasaskan bukti dan berlandaskan kepentingan negara,” kata beliau.

-- BERNAMA