BERITA TERKINI   PRN Johor: Senarai calon BN kini di peringkat akhir - Ahmad Zahid | PRN Johor : BN utamakan tawaran terbaik buat rakyat, bukan serangan politik - Ahmad zahid | Koperasi Profesional Putrajaya Berhad catat prestasi baik, rekod tatakelola teratur - PM Anwar | Jangan ada unsur pengkhianatan dalam sebarang kerjasama politik di negara ini - PM Anwar | Aspek tatakelola penting dalam pembangunan, kegiatan koperasi di negara ini - PM Anwar | 

Pembukaan Kilang Menicon Perkukuh Hubungan Strategik Malaysia-Jepun

KULIM, 5 Feb (Bernama) -- Pembukaan kilang milik sebuah syarikat dari Jepun yang menghasilkan kanta sentuh pakai buang harian, di negara ini memperkuatkan lagi hubungan strategik dua hala antara Malaysia-Jepun.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata Jepun merupakan salah satu rakan pelabur terpenting Malaysia selama berdekad.

“Keputusan syarikat Menicon untuk mengembangkan fasiliti terbesar di sini, memperkuatkan lagi hubungan strategik tersebut.

“Projek ini juga menunjukkan kepercayaan Jepun terhadap kestabilan Malaysia, kemampuan pekerjaan, dan kesediaan industri,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Menicon Malaysia di Kulim Hi-Tech Park di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Mohd Riduan Abdul Rahman.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah, Wong Chia Zhen yang mewakili Menteri Besar Kedah.

Sim berkata MITI menerusi MIDA dan agensi berkaitan akan terus memberikan sokongan bagi memastikan syarikat berkenaan terus maju pada masa hadapan.

“Saya percaya Menicon Malaysia akan terus berkembang sebagai penyumbang utama ekosistem perubatan negara ini dan sebagai rakan dagangan yang berharga dalam transformasi ekonomi Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Wong dalam ucapannya berkata pelaburan syarikat terbabit di negeri ini dengan nilai pelaburan melebihi RM1 bilion merupakan satu pelaburan yang penting.

“Dalam jangka masa panjang, pelaburan sebegini meningkatkan nilai pendapatan dan kualiti hidup untuk penduduk Kedah. Justeru kerajaan negeri komited untuk menyokong pelabur berkualiti tinggi seperti Menicon,” katanya.

-- BERNAMA