Pulau Pinang Tarik Hampir RM16 Bilion Pelaburan Dari China Sejak 10 Tahun Lepas
GEORGE TOWN, 5 Feb (Bernama) -- Kerjasama ekonomi jangka panjang Pulau Pinang dengan China terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem perindustrian negeri, dengan pelaburan dari China mencecah hampir RM16 bilion sejak sedekad yang lepas.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Pulau Pinang mencatatkan pelaburan dalam sektor pembuatan yang diluluskan sebanyak RM4.2 bilion dari China pada 2025 dan lebih 80 syarikat China kini beroperasi di negeri itu termasuk pelabur utama seperti Guangdong Tianyu Semiconductor dan TF-AMD Microelectronics.
Beliau berkata Pulau Pinang kekal sebagai penyumbang utama kepada perdagangan Malaysia–China, menyumbang sebanyak RM143 bilion daripada RM255 bilion jumlah eksport Malaysia ke China bagi tempoh Januari hingga November 2025.
“Kebanyakan eksport ini terdiri daripada produk elektrik dan elektronik, sekali gus menonjolkan peranan Pulau Pinang sebagai hab pembuatan dan teknologi utama dalam rantaian bekalan global,” katanya pada majlis resepsi Tahun Baharu Cina 2026 yang dianjurkan oleh Konsulat Jeneral China di Pulau Pinang, di sini malam ini.
Mengulas prospek akan datang, Chow berkata Pulau Pinang bersama wilayah utara akan terus mengalu-alukan pelaburan strategik dari China khususnya yang bernilai tinggi, berorientasikan masa depan dan mampu meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.
Ketua Menteri berkata penambahbaikan kesalinghubungan antara Pulau Pinang dan China akan terus menyokong aliran masuk pelaburan, dengan merujuk kepada pelancaran penerbangan secara terus dari Guangzhou ke Pulau Pinang baru-baru ini dan perjanjian pengecualian visa bersama China-Malaysia yang ditandatangani tahun lepas.
Sementara itu, Konsul Jeneral China di Pulau Pinang Zhou Youbin berkata Konsulat Jeneral China di Pulau Pinang terus giat mempromosikan kerjasama subnasional antara China dan Malaysia, khususnya melibatkan empat negeri utara di samping memperkukuh persefahaman dan persahabatan bersama.
Beliau berkata kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua pihak terus diperkukuh, dengan semakin banyak syarikat China melabur dan beroperasi di utara Malaysia.
“Syarikat kenderaan tenaga baharu dan bateri litium serta syarikat berkaitan di peringkat huluan dan hiliran telah membentuk satu kluster, sekali gus memberi kesan positif kepada pembinaan ekosistem industri tempatan yang lengkap,” katanya.
Mengenai pertukaran rakyat dengan rakyat, beliau berkata kesalinghubungan antara Pulau Pinang dan China telah meningkat ketara, dengan hampir 70 penerbangan mingguan yang menghubungkan Pulau Pinang ke beberapa bandar di China, sekali gus memudahkan pergerakan pelancong, pengembara perniagaan dan pelajar.
Zhou menambah lebih 200,000 warganegara China melawat Pulau Pinang melalui penerbangan antarabangsa pada 2025, seiring dengan meningkatnya pertukaran budaya dan pendidikan, yang seterusnya mengukuhkan persefahaman bersama serta hubungan rakyat dengan rakyat antara China dan negeri utara Malaysia.
— BERNAMA