Bursa Malaysia Dibuka Tinggi
Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Isnin selepas kenaikan di Wall Street dan pasaran utama Asia didorong indeks meningkat semula dengan ketara selepas jualan dicatatkan minggu lepas, kata penganalisis.
Pada 9.30 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.99 mata kepada 1,740.82 selepas dibuka tinggi 11.91 mata kepada 1,744.74 daripada 1,732.83 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 489 berbanding 156 manakala 342 kaunter tidak berubah, 1,676 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 412.75 juta saham bernilai RM252.78 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Dow Jones Industrial Average (DJIA) ditutup pada paras tertinggi melebihi paras 50,000 manakala hasil bon Amerika Syarikat (AS) untuk tempoh 10 tahun mendatar pada 4.206 peratus.
“Dalam negara, FBM KLCI berjaya ditutup positif, jelas menunjukkan bahawa bursa tempatan mendapat sokongan yang baik daripada aktiviti pembelian saham asas.
“Selepas minggu yang mencatatkan turun naik, kami menjangka peningkatan semula yang stabil dengan indeks diunjurkan berada dalam julat 1,730 hingga 1,750 hari ini, berharap dana asing terus mencatatkan aliran masuk,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah empat sen kepada RM11.98, CIMB naik 10 sen kepada RM8.56, Tenaga Nasional menokok 14 sen kepada RM14.08 dan IHH Healthcare meningkat dua sen kepada RM8.82 manakala Public Bank merosot tiga sen kepada RM4.94.
Dalam senarai paling aktif, MMAG Holdings naik setengah sen kepada 5.5 sen, Zetrix AI meningkat lima sen kepada 73.5 sen, Ambest Group menambah 1.5 sen kepada 36 sen dan Capital A menokok 2.5 sen kepada 59.5 sen manakala TWL Holdings mendatar pada 2.5 sen.
Kaunter paling untung termasuklah Nestle, meningkat RM1.20 kepada RM113.50; Malaysian Pacific Industries naik 78 sen kepada RM31.18; Fraser & Neave Holdings menambah 54 sen kepada RM33.48 dan United Plantations menokok 40 sen kepada RM29.40.
Kaunter paling rugi ialah Paragon Union dan Hextar Technologies Solutions, masing-masing merosot enam sen kepada RM3.57 dan RM1.11 serta Plenitude dan Gromutual, masing-masing berkurangan lima sen kepada RM1.79 dan 25 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 naik 72.63 mata kepada 12,543.62, Indeks FBM Emas meningkat 73.52 mata kepada 12,713.21, Indeks FBM Mid 70 menambah 168.59 mata kepada 17,402.71, Indeks FBM Emas Shariah menokok 93.60 mata kepada 12,199.09 dan Indeks FBM ACE naik 39.68 mata kepada 4,670.47.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 66.67 mata kepada 21,543.61, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 1.89 mata kepada 175.36, Indeks Perladangan menambah 32.30 mata kepada 8,355.93 dan Indeks Tenaga menokok 3.13 mata kepada 742.14.
-- BERNAMA