BERITA TERKINI   Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Industri Perbankan Malaysia Kekalkan Asas Kukuh, Hasil Dividen Baik - MBSB Investment Bank

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Industri perbankan telah mengekalkan asas yang kukuh dan hasil dividen yang baik berikutan kestabilan geopolitik dan ekonomi Malaysia yang terus memacu aliran masuk asing, menurut MBSB Investment Bank Bhd. 

Menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini, pihaknya berpendapat bahawa terdapat ruang untuk kejutan positif dari aspek dividen.

“Tinjauan ekonomi kita yang kukuh, hasil dividen yang tinggi dengan potensi meningkat, kualiti aset yang amat baik dan kestabilan geopolitik menjadikan bank kita amat menarik,” katanya.

Menurut MBSB Investment, prospek dividen adalah lebih cerah untuk bank bersaiz besar hingga sederhana, dengan bank yang lebih kecil sedang melalui pengembangan pesat.

Katanya pengumuman mengejut CIMB Bank mengenai dividen pada suku akhir 2025 telah mendorong kenaikan harga saham bank itu.

MBSB Investment optimis mengenai CIMB, RHB Bank dan AmBank Group. 

Bank pelaburan itu mengekalkan saranan “positif” terhadap sektor tersebut tetapi dengan risiko penurunan termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang lebih rendah daripada jangkaan, potensi penurunan Kadar Dasar Semalaman dan kualiti aset yang meningkat.

-- BERNAMA