CIMB Semak Naik Unjuran KDNK 2026 Malaysia Kepada 4.5 Peratus, Papar Momentum Kukuh
KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- CIMB Treasury & Markets Research menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 Malaysia yang dinaikkan kepada 4.5 peratus daripada 4.4 peratus sebelum ini.
Semakan semula itu bagi memaparkan momentum lebih kukuh bagi tempoh ke arah suku pertama 2026 yang diimbangi oleh kesan asas lebih tinggi dalam separuh kedua 2026.
Menerusi nota penyelidikannya hari ini, CIMB Treasury & Markets Research menyatakan KDNK benar bagi suku keempat 2025 tumbuh 6.3 peratus tahun ke tahun, mengatasi unjuran awal 5.7 peratus, termasuk unjuran paling optimis pada 6.0 peratus.
“Prestasi cemerlang KDNK yang mengatasi unjuran awal itu didorong terutamanya oleh pertumbuhan sektor perkhidmatan yang kukuh.
“Secara keseluruhannya, 2025 mencatat pertumbuhan 5.2 peratus atau meningkat daripada 5.1 peratus yang dicapai pada 2024,” demikian menurutnya.
CIMB Treasury & Markets Research juga menyatakan, tidak termasuk pasca pandemik, angka KDNK yang tumbuh enam peratus tahun ke tahun sebelum ini adalah masing-masing pada suku ketiga 2017 (6.0 peratus) dan suku kedua 2014 (6.5 peratus).
Selain itu, cabang penyelidikan CIMB itu juga mengekalkan unjuran Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak pada 2.75 peratus bagi tempoh sepanjang 2026, disokong oleh prospek inflasi yang tidak berubah.
Pada masa sama, CIMB Treasury & Markets Research juga menjangkakan kadar inflasi di bawah dua peratus pada 2026 akan memberi ruang kepada Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan OPR pada paras semasa.
Bagaimanapun, faktor tekanan inflasi yang menarik permintaan tinggi secara berterusan akan menjadi alasan utama dalam penilaian semula pandangan berkenaan.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata pertumbuhan KDNK yang meningkat pada suku keempat 2025 disumbangkan oleh prestasi kukuh sektor perkhidmatan dan pembuatan serta penggunaan dan pelaburan yang teguh.
Menurutnya eksport bersih pula masih menjadi faktor yang menekan pertumbuhan berikutan import kekal tinggi.
"Faktor ini telah meningkatkan pertumbuhan KDNK keseluruhan bagi 2025 kepada 5.2 peratus, yang melebihi unjuran 4.9 peratus,” katanya.
Menurut bank pelaburan itu, dalam kalangan ASEAN-5 termasuk Vietnam, Malaysia mencatatkan pertumbuhan ketiga tertinggi pada suku keempat selepas Vietnam (8.5 peratus) dan Singapura (6.9 peratus), mengatasi Indonesia (5.4 peratus) dan Filipina (3.0 peratus).
Bagi unjuran pertumbuhan KDNK 2026, Kenanga Investment mengekalkan unjuran pada 4.5 peratus, dengan potensi peningkatan kepada 5.0 peratus sekiranya momentum semasa berterusan.
-- BERNAMA