Bursa Malaysia Rendah Dalam Dagangan Awal

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah dalam dagangan awal pada Isnin berikutan aktiviti pengambilan untung yang berterusan dalam penyertaan yang berkurangan menjelang tempoh cuti panjang.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.89 mata atau 0.05 peratus kepada 1,738.65 daripada 1,739.54 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.12 mata kepada 1,740.66.

Pasaran secara menyeluruh negatif sedikit dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 164 berbanding 139 manakala 320 kaunter tidak berubah, 2,114 kekal tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 234.46 juta saham bernilai RM75.01 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata selepas kenaikan yang kukuh baru-baru ini, pasaran dijangka terus stabil terutamanya dalam penyertaan yang berkurangan sepanjang tempoh cuti.

“Aktiviti pengambilan untung secara terpilih dalam saham mewah dijangka berterusan berikutan pelabur menilai semula kedudukan masing-masing. Kami menjangka indeks akan berada antara 1,730 dan 1,745 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata Wall Street ditutup bercampur-campur selepas sesi dagangan yang tidak menentu pada Jumaat lepas berikutan pelabur menilai data inflasi Amerika Syarikat (AS) pada Januari yang lebih rendah daripada jangkaan untuk mendapatkan petunjuk mengenai hala tuju kadar faedah pada masa depan.

“Pada peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong turut rendah, didorong oleh penurunan saham teknologi dalam ketidaktentuan global dan kebimbangan mengenai penilaian,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot empat sen kepada RM12.02, Public Bank mendatar pada RM5.04, CIMB berkurangan dua sen kepada RM8.44 manakala Tenaga Nasional meningkat enam sen kepada RM14.02 dan IHH naik satu sen kepada RM8.84.

Dalam senarai paling aktif, Hong Seng, Zen Tech dan TWL, masing-masing mendatar pada setengah sen, setengah sen dan 2.5 sen. Tanco naik dua sen kepada RM1.43 dan Artroniq meningkat 1.5 sen kepada 17 sen.

Selain Tenaga Nasional, kaunter paling untung termasuklah MNRB, menambah 24 sen kepada RM2.70, Chin Teck Plantations meningkat 16 sen kepada RM10.60, Fraser and Neave naik 10 sen kepada RM33 dan Petronas Gas menokok lapan sen kepada RM18.30.

Kaunter paling rugi ialah 99 Speed Mart dan VSTECS, masing-masing merosot 14 sen kepada RM3.81 dan RM4.06, Kein Hing International berkurangan sembilan sen kepada RM1.16, United Plantations menurun lapan sen kepada RM30.10 dan Hextar Technologies menyusut lima sen kepada RM1.12.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 merosot 9.84 mata kepada 12,554.97, Indeks FBM Emas berkurangan 4.38 mata kepada 12,733.82, Indeks FBM Mid 70 menurun 29.13 mata kepada 17,540.54 manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 5.95 mata kepada 12,227.96 dan Indeks FBM ACE naik 0.50 mata kepada 4,741.55.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 27.27 mata kepada 21,496.61, Indeks Perladangan berkurangan 4.49 mata kepada 8,372.44 manakala Indeks Tenaga naik 2.00 mata kepada 753.10 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.10 mata kepada 175.18.

-- BERNAMA