BERITA TERKINI   Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

RHB IB Kekal Unjuran Inflasi 2026 Pada 1.8 Peratus Susulan Permintaan Lebih Kukuh

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) mengekalkan unjuran inflasi bagi 2026 pada kadar 1.8 peratus (2025: 1.4 peratus), hampir kepada paras tertinggi julat rasmi 1.3–2.0 peratus yang mencerminkan permintaan domestik yang lebih kukuh. 

Dalam laporan Economics View, RHB IB berkata tekanan yang didorong permintaan mungkin meningkat apabila pendapatan boleh guna yang lebih tinggi serta peningkatan penggunaan merangsang perbelanjaan keseluruhan.

Sementara itu, katanya sentimen yang bertambah baik susulan pengurangan risiko tarif, prospek ekonomi yang kukuh serta langkah sokongan pengguna yang dipertingkat dijangka terus merancakkan aktiviti domestik.

"Bagaimanapun, inflasi dijangka kekal terkawal dan berada di bawah purata jangka panjang 2.0 peratus, disokong oleh pelaksanaan dasar yang teratur dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan," katanya.

Namun, RHB IB berkata, kejadian yang tidak dijangka seperti ketegangan geopolitik yang memuncak atau pemotongan bekalan minyak yang tidak dijangka daripada negara pengeluar minyak boleh mewujudkan peningkatan tekanan ke atas harga tenaga.

Jika inflasi ternyata lebih tinggi dan lebih tidak stabil daripada yang dijangkakan, kenaikan kadar faedah tidak boleh diketepikan sepenuhnya terutamanya dengan latar belakang prospek ekonomi yang kukuh, katanya.

RHB IB berkata beberapa faktor dijangka terus mendorong inflasi pada tahun hadapan termasuk tekanan inflasi yang dipacu permintaan, perubahan dalam dasar domestik, pelarasan harga RON95 dan mekanisme subsidi, impak daripada penstrukturan tarif elektrik serta turun naik harga komoditi global.

Sementara itu, bank pelaburan itu juga menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) kekal tidak berubah pada 2.75 peratus pada 2026.

Katanya dasar monetari dijangka kekal bergantung kepada data dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan datang dengan keputusan berpandukan prospek pertumbuhan ekonomi dan dinamik inflasi yang mendasari.

"Dengan keadaan makroekonomi yang stabil dan inflasi yang terkawal, tiada tekanan segera untuk memperketat dasar.

"Bagaimanapun, jika inflasi ternyata lebih tinggi dan lebih tidak stabil daripada yang dijangkakan, kenaikan kadar faedah tidak boleh diketepikan sepenuhnya terutamanya dengan latar belakang prospek ekonomi yang kukuh," katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), inflasi Malaysia meningkat sebanyak 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan mata indeks naik kepada 135.7 daripada 133.6 pada bulan yang sama tahun lepas.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan ini dipacu oleh empat kumpulan yang diterajui oleh penjagaan peribadi, perlindungan sosial dan barangan serta perkhidmatan pelbagai yang meningkat 6.6 peratus tahun ke tahun berbanding 5.7 peratus pada Disember 2025.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata inflasi dijangka kekal terkawal pada 2026 walaupun pertumbuhan ekonomi terus kukuh.

Katanya, pemindahan fiskal dan jaminan kredit akan menyokong permintaan isi rumah.

Ia berkata subsidi bahan api dan elektrik yang disasarkan terus mengehadkan pemindahan kos manakala pembaharuan dilaksanakan secara berperingkat.

"Kenaikan nilai ringgit mengukuhkan disinflasi yang diimport melalui penurunan harga bahan api, makanan dan barangan pertengahan. Risiko kenaikan datang daripada pengembangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), pelarasan levi pekerja asing serta potensi gangguan geopolitik.

"Namun, jika tiada kejutan komoditi atau lingkaran gaji, inflasi dijangka kekal di bawah purata jangka panjangnya," katanya.

Bank pelaburan itu berkata dasar dijangka kekal stabil dengan pertumbuhan yang semakin perlahan dan tekanan harga yang terkawal.

Ia menambah Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan OPR pada 2.75 peratus bagi mengekalkan kredibiliti dan kestabilan kadar tukaran wang sambil mengekalkan fleksibiliti sekiranya keadaan luaran merosot.

-- BERNAMA