BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

ANGKASA Sasar Perolehan Gerakan Koperasi Cecah RM75 Bilion Pada 2026

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan perolehan gerakan koperasi negara terus meningkat dan berpotensi mencecah antara RM73 bilion hingga RM75 bilion pada 2026, susulan peningkatan keyakinan masyarakat terhadap sektor berkenaan.

Presidennya Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata pada 2024, perolehan gerakan koperasi telah melepasi RM68 bilion dan angka itu dijangka terus meningkat bagi 2025 selepas semua akaun koperasi ditutup.

Beliau berkata peningkatan berkenaan mencerminkan tahap kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap gerakan koperasi sebagai platform menangani isu sosioekonomi.

“Secara purata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia mendaftarkan kira-kira 1,000 koperasi baharu setiap tahun. Ini menunjukkan masyarakat semakin memahami serta melihat potensi besar koperasi untuk terus berkembang,” katanya ketika ditemui pada program Agihan Pek Juadah Berbuka Puasa di lobi Wisma Bernama, hari ini.

Turut hadir pada program itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata ANGKASA memperuntukkan kira-kira RM500,000 bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena Ramadan tahun ini, termasuk sumbangan juadah berbuka puasa kepada rakan media serta bantuan barangan keperluan asas kepada golongan memerlukan.

Terdahulu, ANGKASA mengagihkan kira-kira 300 pek makanan kepada petugas Bernama.

Menurutnya, acara itu merupakan simbolik hubungan erat antara ANGKASA dan media, selain menghargai peranan media dalam mempromosikan gerakan koperasi kepada masyarakat.

“Selain menjalin hubungan dengan rakan media, Bernama juga mempunyai koperasi. Jadi, kunjungan ini bukan sahaja kepada warga media, tetapi juga kepada ahli koperasi yang terdiri daripada petugas Bernama,” katanya.

-- BERNAMA