BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Aktiviti Pengambilan Untung

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) ditutup lebih rendah hari ini didorong oleh aktiviti pengambilan untung selepas mencatatkan kenaikan kukuh pada Khamis, kata seorang peniaga.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM gagal menjejaki kenaikan minyak kacang soya di Chicago Mercantile Exchange (CME).

“Permintaan eksport yang lebih lemah, aktiviti pengambilan untung serta (penutupan sempena cuti umum) Dalian Commodity Exchange berkemungkinan menekan niaga hadapan MSM,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Mac 2026 susut RM30 kepada RM4,063 satu tan, April 2026 turun RM27 kepada RM4,087 satu tan manakala Mei 2026 berkurang RM25 kepada RM4,092 satu tan.

Kontrak Jun 2026 mengecil RM20 kepada RM4,096 satu tan, Julai 2026 turun RM11 kepada RM4,100 satu tan dan Ogos 2026 merosot RM9 kepada RM4,099 satu tan.

Jumlah dagangan menokok kepada 81,717 lot daripada 72,636 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 228,011 daripada 223,809 sebelumnya.

Harga fizikal MSM bagi Mac Selatan susut RM20 kepada RM4,100 satu tan.

-- BERNAMA