BERITA TERKINI   FDI Malaysia meningkat 41.2 peratus kepada RM65.9 bilion pada 2025 daripada RM46.7 bilion pada 2024 - DoSM | FDI terkumpul meningkat kepada RM1.09 trilion pada akhir 2025, menyumbang 53.7 peratus daripada KDNK - DoSM | Sektor 'Advanced Air Mobility' dan dron dijangka berkembang pesat dengan pelaburan bernilai berbilion dolar - Loke | LAE buka peluang tarik pelaburan bernilai tinggi, tingkatkan daya saing negara - Loke | Garis panduan Ekonomi Altitud Rendah (LAE) dijangka diumum hujung tahun ini, perkasa kawal selia dan operasi ekosistem LAE - Loke | 

NCER Catat Pelaburan Direalisasi RM78.95 Bilion, Wujud Lebih 23,000 Peluang Pekerjaan Pada 2025 - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya mencatatkan pelaburan direalisasi sebanyak RM78.95 bilion dan mewujudkan lebih 23,000 peluang pekerjaan pada 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Menerusi hantaran di laman X, Anwar berkata pencapaian tersebut dilaporkan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-35 yang dipengerusikan beliau hari ini.

Beliau berkata NCER pada tahun lepas telah berjaya melahirkan 4,000 orang bakat tempatan yang menepati keperluan pelabur dan industri menerusi program di bawah kendalian Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC).

 Anwar berkata mesyuarat kali ini membincangkan perancangan 2026 dan tahun mendatang dengan fokus memantapkan peranan dalam mempercepat realisasi pelaburan berkualiti tinggi di wilayah utara.

“Ini termasuk beberapa pelaburan berpotensi terkait Kedah Rubber City (KRC) dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Perlis,” kata beliau.

Beliau berkata inisiatif meluaskan impak pembangunan ekosistem pelaburan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dan kajian meningkatkan semula daya saing pelancongan di Pulau Langkawi turut diteliti.

-- BERNAMA