Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Berikutan Ketidaktentuan Ke Atas Tarif Baharu AS

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini berikutan ketidaktentuan yang semakin meningkat berhubung rejim tarif baharu Amerika Syarikat (AS).

Pada 20 Feb lepas, Mahkamah Agung AS membatalkan tarif berasaskan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) Presiden Donald Trump termasuk tarif timbal baliknya.

Beberapa jam selepas keputusan mahkamah, Trump mengumumkan rancangan untuk menaikkan tarif garis dasar global kepada 10 peratus sebelum meningkatkannya lagi pada Sabtu lepas kepada 15 peratus.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata para peniaga mempersoalkan sama ada pihak berkuasa eksekutif Trump untuk mengenakan tarif tanpa sokongan kongres yang jelas adalah mampan.

“Ketidakpastian undang-undang dan politik ini memacu permintaan aset selamat,” katanya kepada Bernama. 

Pada penutupan, kontrak bulan semerta Februari 2026 melonjak kepada US$5,157.80 setiap auns troy berbanding US$5,046.30 yang dicatatkan semasa Jumaat sebelum ini.

Mac menokok kepada US$5,174.80 setiap auns troy daripada US$5,063.30, manakala April dan Mei menambah kepada US$5,192.60 setiap auns troy daripada US$5,081.10.

Kontrak Jun dan Ogos 2026 juga ditutup tinggi pada US$5,226.50 setiap auns troy berbanding US$5,115.0 sebelumnya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada enam lot daripada 10 lot dan kepentingan terbuka susut kepada 91 kontrak daripada 98 kontrak.

Berdasarkan penetapan tengah hari London Bullion Market Association pada 20 Feb, emas fizikal ditetapkan pada US$5,053.20 setiap auns troy.

-- BERNAMA