BERITA TERKINI   Pengurusan fiskal yang bertanggungjawab membolehkan kerajaan mengurangkan dampak kenaikan harga bahan api global di samping terus menyokong perbelanjaan isi rumah dan pertumbuhan ekonomi - PM Anwar | Tumpuan kerajaan terhadap reformasi, yang berteraskan dasar mesra pertumbuhan, program berpaksikan rakyat serta pengurusan fiskal bertanggungjawab, terus memperkukuh momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia - PM Anwar | Momentum pertumbuhan ekonomi mampan pada suku pertama 2026 mencerminkan disiplin fiskal dan kecekapan tatakelola Kerajaan MADANI meskipun menghadapi ketidakstabilan global berterusan - MOF | Op Teguh 2.0: 187 individu ditahan, RM57.68 juta aset dirampas, banteras sindiket penipuan dalam talian antarabangsa - KPN | Tinjauan pertumbuhan, inflasi 2026 oleh BNM telah ambil kira perubahan struktur subsidi bahan api -- Gabenor BNM | 

Untung Bersih Kumpulan AmBank Naik Kepada RM529.58 Juta Pada Suku Ketiga Tahun Kewangan 2026

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- AMMB Holdings Bhd (Kumpulan AmBank) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM529.58 juta pada suku ketiga bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026  daripada RM486.49 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Kumpulan perbankan berkenaan dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata prestasi yang lebih baik itu dipacu oleh pendapatan yang lebih tinggi serta pembalikan rosot nilai bersih lebih tinggi yang direkodkan dalam bahagian perbankan borongnya.

Tambahnya, peningkatan itu turut disokong oleh pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.5 peratus dalam pendapatan pembiayaan bersih dan 25.6 peratus dalam pendapatan bukan pembiayaan bagi bahagian perbankan Islamnya.

Selain itu, katanya, pendapatan pelaburan yang lebih tinggi serta premium insurans bersih diperoleh lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi oleh tuntutan yang lebih tinggi dalam bahagian insuransnya.

Syarikat itu juga melaporkan hasil perolehannya meningkat kepada RM1.28 bilion daripada RM1.24 bilion sebelumnya.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama yang berakhir 31 Dis, 2025, keuntungan bersih Kumpulan AmBank menokok kepada RM1.58 bilion daripada RM1.49 bilion sebelumnya manakala hasil perolehannya juga naik sedikit kepada RM3.86 bilion daripada RM3.65 bilion.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Jamie Ling berkata kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan pendapatan dan keuntungan yang baik bagi sembilan bulan pertama tahun kewangannya dengan mencapai pulangan ekuiti tahunan sebanyak 10.1 peratus dan pulangan ke atas aset sebanyak 1.06 peratus.

"Secara berhematnya, kedudukan modal kami kekal kukuh dengan kedudukan mudah tunai yang mencukupi. Kami memberi tumpuan untuk mencatatkan suku tahunan yang konsisten bagi menutup tahun kewangan 2026 dengan kukuh," katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai prospek, Ling berkata walaupun terdapat tempoh ketidaktentuan luaran yang dipacu oleh ketidakpastian geopolitik di peringkat global, ekonomi domestik lebih daripada sekadar berdaya tahan dan terus berkembang.

"Kami menguruskan profil risiko kami secara aktif, menilai potensi kenaikan serta risiko penurunan dan membuat penyesuaian yang diperlukan terhadap rancangan pertumbuhan kami.

"Kami terus membuat kemajuan yang baik bagi mencapai matlamat kewangan dalam tahun kedua strategi Winning Together (WT29) kumpulan," katanya.

-- BERNAMA