Untung Bersih TIME dotCom Bagi Tahun Kewangan 2025 Naik Kepada RM428.15 Juta
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- TIME dotCom Bhd mencatatkan prestasi kukuh dengan keuntungan bersih sebanyak RM428.15 juta bagi tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 31 Dis, 2025, daripada RM382.82 juta pada tahun sebelumnya.
Pencapaian itu dipacu oleh peningkatan hasil perolehan serta pengurangan rosot nilai kabel dasar laut dan rosot nilai tukaran mata wang asing bersih.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, perolehan kumpulan bertambah sebanyak 6.1 peratus kepada RM1.79 bilion pada tahun kewangan 2025 daripada RM1.69 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Ia berkata, peningkatan perolehan itu disokong oleh permintaan yang berterusan terhadap tawaran data dan keterhubungan Time dengan sektor runcit dan perusahaan terus menjadi penyumbang utama selain ia menjadi satu aliran yang konsisten dengan prestasi tahun sebelumnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Loh Jenkim berkata, kumpulan itu mengakhiri tahun kewangan 2025 dengan kedudukan yang kukuh dan prestasinya mencerminkan daya tahan inisiatif strategiknya.
"Seiring dengan perkembangan jangkaan pelanggan, kami kekal komited untuk menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai dan berkualiti tinggi sambil mengukuhkan asas operasi dan kewangan kami untuk menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang," katanya.
Time turut mengisytiharkan dividen interim bebas cukai (tunggal) sebanyak 17.32 sen dan dividen interim khas bebas cukai (tunggal), masing-masing sebanyak 9.73 sen sesaham.
Ia berkata, dividen sebanyak RM500.1 juta itu akan dibayar pada 25 Mac 2026.
Bagi tempoh suku keempat, keuntungan bersih menurun kepada RM104.38 juta daripada RM114.40 juta sebelumnya manakala perolehan melonjak kepada RM464.79 juta daripada RM430.59 juta.
Melangkah ke hadapan, kumpulan berkata ia kekal memberi tumpuan untuk memacu pertumbuhan mampan jangka panjang seiring dengan perkembangan landskap telekomunikasi yang terus berubah.
"Time akan terus melabur dalam pengembangan rangkaian, perubahan digital dan penyelesaian pelanggan yang dipertingkatkan bagi mengekalkan kelebihan daya saingnya," katanya.
-- BERNAMA