Kerajaan Dicadang Perkasa Dasar Perumahan, Tangani Isu Ketidakseimbangan Harga Rumah
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kerajaan dicadang memperkasakan dasar perumahan negara dengan kawalan harga yang lebih efektif dan insentif cukai yang lebih tepat dengan sasaran bagi menangani isu ketidakseimbangan di antara harga rumah dengan pertumbuhan pendapatan rakyat.
Senator Michael Mujah Lihan berkata harga hartanah di bandar-bandar besar melonjak ke tahap yang dikategorikan sebagai sangat tidak mampu milik.
"Walaupun harga bahan binaan dan nilai hartanah meningkat, rata-rata gaji rakyat masih tidak menunjukkan pertumbuhan selari.
"Bagi golongan muda dan kumpulan M40, cabaran bukan sekadar pada harga jualan sebaliknya kos sara hidup yang tinggi, komitmen hutang sedia ada dan syarat pinjaman bank yang semakin ketat menjadikan proses kelulusan kredit sebagai satu halangan besar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara, hari ini.
Jelas Michael, ramai yang terperangkap dalam generasi penyewa apabila sebahagian besar pendapatan habis digunakan untuk membayar sewa tanpa memiliki aset pada masa hadapan.
Justeru, beliau berkata isu ini memerlukan anjakan paradigma daripada semua pihak berkepentingan termasuk pemaju serta institusi kewangan.
"Pemaju harus lebih inovatif dalam menggunakan teknologi yang mengurangkan kos binaan tanpa menjejaskan kualiti.
"Sementara itu, institusi kewangan perlu meneroka skim pembiayaan yang lebih fleksibel seperti menyediakan skim sewaan yang lebih meluas," katanya.
-- BERNAMA