BERITA TERKINI   Seorang kanak-kanak lelaki empat tahun rentung dalam kebakaran di PPR Kampung Muhibbah pada 2.59 petang hari ini - Bomba KL | 

Bakal Disenarai Di Pasaran ACE, Adnex Sasar Raih RM18.1 Juta Daripada IPO

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Adnex Group Bhd, yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 17 Mac, 2026 menyasarkan untuk mengumpul RM18.1 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO).

Penyedia perkhidmatan hiasan dalaman itu berkata RM6.4 juta daripada jumlah hasil IPO tersebut akan digunakan untuk pengembangan perniagaan, termasuk pejabat korporat dan cawangan di negeri-negeri lain di Malaysia, penambahbaikan infrastruktur digital serta pengembangan pasaran antarabangsa.

Selain itu, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk bon prestasi bagi projek hiasan dalaman sedia ada dan akan datang, RM1.2 juta untuk membayar balik pinjaman bank, RM3.9 juta sebagai modal kerja, dan RM3.6 juta untuk kos penyenaraian, katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Adnex Kan Wai Chun berkata pelancaran prospektus syarikat menandakan langkah penting untuk beralih menjadi syarikat tersenarai awam dan memasuki fasa baharu pertumbuhan, akauntabiliti, dan peluang.

“Daripada sebuah syarikat hiasan dalaman tempatan kepada organisasi yang diurus secara profesional dan bercita-cita mengembangkan operasi serantau, kami membina keupayaan untuk melaksanakan projek hiasan dalaman bagi memenuhi keperluan pelanggan yang pelbagai.

"Hasil daripada IPO akan menyediakan sumber kewangan kepada kami untuk memperkukuh keupayaan pelaksanaan projek, melabur dalam peralatan dan teknologi digital terkini, di samping mengembangkan kehadiran kami ke Sabah, Sarawak, dan pasaran antarabangsa terpilih,” katanya.

Selepas penyenaraian, modal saham yang diperbesar akan mencapai 500 juta saham dengan permodalan pasaran sebanyak RM100.0 juta, berdasarkan harga IPO 20 sen sesaham.

Permohonan bagi bahagian isu awam dibuka hari ini dan ditutup pada 5 Mac 2026.

Public Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin tunggal, dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan.

-- BERNAMA