Eversendai Catat Pemulihan Kukuh, Bida Projek RM15 Bilion
Oleh M.Saraswathi
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Syarikat kejuruteraan dan struktur keluli, Eversendai Corporation Bhd mencatatkan pemulihan kukuh daripada impak pandemik COVID-19, dengan perolehan melepasi RM2 bilion buat kali pertama dan keuntungan yang utuh selain membida projek bernilai kira-kira RM15 bilion di seluruh dunia.
Syarikat itu mengumumkan perolehan bagi 2025 meningkat sebanyak 71.1 peratus atau RM887.1 juta kepada RM2.14 bilion daripada RM1.25 bilion sebelumnya.
Ini didorong terutamanya oleh semua projek yang sedang dijalankan mengikut jadual, usaha berterusan untuk mengurangkan perbelanjaan operasi serta kos kewangan yang berkurangan dan keuntungan pertukaran asing.
Bercakap kepada Bernama, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri AK Nathan Elumalay berkata prestasi kewangan kumpulan itu melambangkan pemulihan paling kukuh sejak pandemik yang telah menyebabkan syarikat mengalami kerugian besar disebabkan kegagalan pelanggan membuat bayaran, bankrap dan gangguan dalam pelaksanaan projek.
“Eversendai telah melalui tempoh yang sukar semasa dan selepas COVID-19. Terdapat kerugian besar apabila dua syarikat pelanggan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) muflis dan beberapa syarikat ditutup. Kami tidak mempunyai pendapatan dan terpaksa terus membayar gaji serta perbelanjaan lain.
“Kami kehilangan sejumlah wang yang besar secara keseluruhannya,” katanya, sambil menambah kumpulan itu telah menghapus kira antara RM350 juta dan RM400 juta dalam tempoh tersebut, menyebabkan pendapatannya merosot.
Mengimbas kembali persekitaran mencabar akibat pandemik, katanya ada satu ketika beliau tidak pasti sama ada dapat memulihkan perniagaan terutamanya apabila banyak ketidakpastian dan cabaran.
“Ini antara tempoh paling sukar dalam hidup saya tetapi dua tahun kebelakangan ini telah berjalan dengan baik dan tiada kejayaan yang datang dengan mudah,” kata Nathan, seorang usahawan yang berjaya dan pengasas Eversendai.
Nathan menyifatkan pemulihan itu dengan kawalan kos yang lebih ketat, produktiviti yang lebih baik dan komitmen yang kukuh terhadap keselamatan, kualiti dan penghantaran tepat pada masanya.
Sasar Nilai Perolehan Kontrak Tinggi, Lebih Banyak Bidaan
Dua setengah tahun yang lepas telah mencatatkan prestasi yang positif untuk Eversendai.
Selain perolehan, katanya keuntungan bersih melonjak kepada RM110.41 juta, ketiga terbaik sejak syarikat disenaraikan pada 2011 berbanding RM13.40 juta pada tahun sebelumnya.
Pemulihan itu disokong oleh nilai perolehan kontrak bernilai RM6.7 bilion yang diumumkan sebelum ini.
Pada masa ini, Eversendai memegang kontrak bernilai RM4.6 bilion, dengan beberapa kontrak baharu dijangka tahun ini.
“Pada masa depan, Eversendai berada pada kedudukan yang baik. Saya tidak akan terkejut jika kami dapat mencatatkan melebihi RM6.7 bilion sekali lagi.
“Perolehan dan keuntungan bersih bagi 2025 adalah yang tertinggi sepanjang kerjaya saya,” kata Nathan, yang jelas gembira ketika menyuarakan keyakinannya mengenai prospek kumpulan.
“Saya percaya kami telah memberi kejutan kepada pasaran dengan jumlah kontrak yang diraih,” katanya.
Beliau berkata syarikat akan dapat mengulangi kejayaan tahun 2025 berikutan ia telah mengemukakan bidaan untuk projek berjumlah kira-kira RM15 bilion, merangkumi Singapura, India dan Timur Tengah, terutamanya UAE dan Arab Saudi.
“Kami tidak mendapat kontrak hanya kerana menawarkan harga paling rendah. Pelanggan bersedia untuk membayar lebih kerana mereka tahu apabila kami mengambil tanggungjawab, kami menunaikannya,” katanya.
​Pengembangan, Tenaga Kerja
Selain perniagaan struktur keluli yang menjadi terasnya, Eversendai memperluas kepada projek pusat data di UAE dan India serta pembangunan ladang angin di Eropah.
Kumpulan itu sedang melaksanakan satu projek ladang angin di Eropah dan tiga modul sedang dihasilkan di kemudahan Eversendai di Ras Al Khaimah di UAE untuk dieksport ke Sepanyol sebelum pemasangan di Jerman.
Beliau berkata syarikat turut berhasrat untuk meningkatkan peranannya sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) dalam sektor tenaga angin, menyatakan peluang yang besar di Eropah.
Mengenai kemungkinan pengembangan di Malaysia, beliau berkata Eversendai telah membeli tanah di Johor dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan pembinaan untuk kilang baharu akan bermula dalam tempoh dua bulan akan datang.
“Kami percaya ia akan beroperasi dalam tempoh satu setengah tahun. Ini terutamanya untuk menampung projek yang diraih di Singapura,” katanya.
Ditubuhkan lebih empat dekad yang lepas, Eversendai mempunyai lebih 15,020 tenaga kerja meliputi seluruh operasinya.
“Tiga bulan lepas, kami mempunyai 14,200 tenaga kerja,” katanya.
Dengan lembaran imbangan yang kukuh, nilai perolehan kontrak yang utuh dan saluran tender yang aktif, Nathan berkata kumpulan itu kini memberi tumpuan kepada meningkatkan margin seterusnya dan berusaha ke arah menjadi syarikat yang membayar dividen secara konsisten.
“Kami kini berada pada kedudukan yang baik dan masa depan adalah menarik,” katanya.
-- BERNAMA