Sime Darby Kekalkan Harga Kenderaan Walaupun Ringgit Mengukuh
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Sime Darby Bhd tidak mempunyai rancangan untuk menurunkan harga kenderaan walaupun ringgit mengukuh tetapi sebaliknya memilih untuk menguruskan margin, pada masa sama mengekalkan daya saing, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Jeffri Salim Davidson.
Beliau berkata pelarasan harga pada masa ini masih terhad kepada diskaun promosi biasa kerana kumpulan itu tidak berhasrat untuk membuat perubahan harga struktur, memandangkan pergerakan kadar pertukaran asing dilihat sebagai sementara dan boleh berubah.
“Buat masa ini, kami tidak melaraskan harga kereta kami selain daripada diskaun biasa untuk mengekalkan daya saing,” katanya dalam taklimat media susulan pengumuman keputusan kewangan kumpulan itu untuk suku kedua yang berakhir pada 31 Disember, 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, Jeffri Salim berkata ringgit yang lebih kukuh telah menjejaskan terjemahan keuntungan secara negatif disebabkan oleh pendedahan pendapatan luar negara Sime Darby yang besar terutamanya dari Australia, China dan Singapura.
“Dari perspektif keuntungan, (ringgit yang lebih kukuh) tidak begitu baik kerana sebahagian besar keuntungan kami berpangkalan di Australia, China dan Singapura. Justeru, ia diterjemahkan kembali apabila ditukarkan semula, nilai ringgit yang diterima adalah lebih kecil tetapi walaupun begitu prestasi keseluruhan agak baik,” tambahnya.
Jeffri Salim berkata bahawa dari segi operasi, bahagian automotif mencatatkan sumbangan serantau menggalakkan dari Hong Kong dan Taiwan, manakala operasi China bertambah baik pada suku tersebut berikutan usaha rasionalisasi kos dan rebat BMW memberangsangkan walaupun keadaan pasaran di sana masih tidak menentu.
Sime Darby dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata keuntungan bersihnya untuk suku kedua tahun kewangan 2026 meningkat kepada RM431 juta daripada RM305 juta setahun sebelumnya, didorong oleh keuntungan lebih tinggi daripada bahagian permotorannya dan kos kewangan lebih rendah.
Bagaimanapun, keuntungan tersebut sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan yang lebih rendah daripada bahagian perindustrian, katanya.
Hasil untuk suku kedua tahun kewangan 2026 menokok kepada RM18.97 bilion berbanding RM17.72 bilion dilaporkan pada suku sama sebelumnya.
Bagi enam bulan yang berakhir pada 31 Disember, 2025, Sime Darby mencatatkan keuntungan bersih RM786 juta berdasarkan hasil RM37 bilion dan mengisytiharkan dividen interim sebanyak tiga sen sesaham.
Melangkah ke depan, Jeffri Salim berkata Sime Darby menjangkakan prestasi tahun kewangan 2026 setara dengan tahun sebelumnya, tidak termasuk penjualan sekali sahaja kecuali jika berlaku keadaan tidak dijangka.
Mengenai prospek permintaan domestik, beliau berkata Sime Darby secara amnya menjangkakan jumlah keseluruhan industri Malaysia akan seiring dengan unjuran Persatuan Automotif Malaysia iaitu sekitar 790,000 unit, walaupun dengan pandangan yang sedikit konservatif.
“Singapura terus menjadi penyumbang pendapatan terbesar dalam bahagian permotoran, disokong oleh momentum jualan kukuh daripada BYD, di mana kami bertindak sebagai pengedar, selain itu ia turut disumbangkan oleh prestasi BMW yang positif di pasaran.
“Manakala bagi segmen perindustrian, kami kekal optimistik mengenai sektor perlombongan Australia dalam jangka masa panjang, terutamanya permintaan bijih besi, arang batu dan tembaga, meskipun pendapatan alat ganti dan perkhidmatan lebih rendah baru-baru ini apabila pelombong menangguhkan penyelenggaraan untuk mengekalkan kecairan tunai,” katanya.
-- BERNAMA