BERITA TERKINI   Liga Super: Terengganu 0-1 KL City | Liga Super: Penang 0-4 JDT | Liga Super: Kelantan TRW 0-3 DPMM | 

Mydin Perluas Pasaran Buka Mydin Mart Ke-75 Di Bagan Datuk

BAGAN DATUK, 27 Feb (Bernama) -- Peruncit dan pemborong Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) memperluaskan pasarannya apabila membuka cawangan Mydin Mart Bagan Datuk yang juga merupakan cawangannya yang ke-75 di seluruh negara.

Cawangan terbaharu berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin berkata pembukaan pasar raya itu di bawah pengurusan Tri Shaas Sdn. Bhd dan melibatkan kos pelaburan RM1 juta.

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada perancangan strategik bagi memastikan pengguna mendapat akses kepada barangan berkualiti pada harga mampu milik.

“Mydin sentiasa komited untuk memastikan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar dapat menikmati kemudahan membeli-belah yang lengkap dengan harga borong," katanya ketika berucap pada majlis perasmian cawangan pasar raya itu di sini hari ini.

Katanya pada masa sama, pembukaan cawangan ini turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat serta memberi ruang kepada usahawan selain pembekal tempatan untuk berkembang bersama jenama berkenaan.

Cawangan Mydin Mart Bagan Datuk dengan keluasan 650.3213 meter persegi ini menawarkan sebanyak 6,000 unit simpanan stok (SKU) merangkumi pelbagai pilihan barangan keperluan harian termasuk produk tempatan.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Mydin turut menyumbangkan Kotak SARA RAHMAH kepada 50 penerima melalui inisiatif Mydin Prihatin bagi meringankan kos perbelanjaan ketika menjalani ibadah bulan Ramadan.

Sempena pembukaan rasmi pasar raya itu pelbagai promosi istimewa dan penjimatan menarik ditawarkan kepada pelanggan sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan masyarakat.

Promosi termasuk ayam seekor RM1 (terhad 100 ekor sehari), mi kuning 10 sen setiap hari dan ubi kentang 99 sen setiap kilogram (kg) (terhad dua kg setiap pelanggan), selain diskaun menarik untuk barangan runcit dan keperluan harian terpilih. 

Promosi itu diteruskan pada 6 hingga 8 Mac dengan tawaran istimewa seperti rusuk ayam RM5.99 setiap kg (terhad dua kg setiap pelanggan), Ikan Sardin RM7.99 setiap kg (terhad 2kg setiap pelanggan), Epal Fuji 90 sen sebiji (terhad lima biji setiap pelanggan), beras 5 kg pada harga RM28.99 dan pelbagai lagi.

-- BERNAMA