BERITA TERKINI   PM Anwar tiba di Ashgabat pada 8 malam (11 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan | Kerajaan Persekutuan luluskan penubuhan Majlis Tahfiz Negara - TPM Ahmad Zahid | PRN Johor: Chu Poh Yee calon DAP bagi kerusi DUN Mengkibol menggantikan penyandang Chew Chong Sin - Loke | Bekalan minyak: draf perjanjian dan prinsip kerjasama telah dipersetujui, hanya menunggu proses pemuktamadan & pemeteraian selepas lawatan teknikal terperinci - PM Anwar | Rusia beri jaminan bekalan minyak dan gas kepada Malaysia untuk jangka masa panjang - PM Anwar | 

Dividen 6.15 Peratus Cerminkan Kecekapan Pengurusan Pelaburan KWSP - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Pengumuman dividen sebanyak 6.15 peratus bagi simpanan konvensional dan shariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tahun 2025 mencerminkan kecekapan pengurusan pelaburan dana simpanan persaraan itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pengumuman itu juga menunjukkan keyakinan berterusan rakyat terhadap sistem simpanan persaraan negara.

“Pencapaian ini, meski dalam keadaan pasaran global yang mencabar, mencerminkan kekuatan pengurusan pelaburan KWSP serta keyakinan berterusan rakyat terhadap sistem simpanan persaraan negara,” kata Anwar dalam laman media sosial beliau hari ini.

Beliau berkata Kerajaan MADANI menyambut baik prestasi ini dan akan terus melaksanakan dasar yang mampan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat agar setiap warga mampu merancang masa depan dengan lebih yakin dan bermaruah.

KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus bagi 2025 untuk akaun simpanan konvensional dan shariah, dengan jumlah pembayaran RM79.6 bilion.

Bagi tahun berakhir 31 Dis 2025, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus daripada RM75.5 bilion pada 2024. 

Keahliannya juga meningkat kepada 18.1 juta pada 2025 disokong oleh penyertaan tenaga kerja yang lebih meluas termasuk pekerja bukan warganegara Malaysia.

Bilangan ahli aktif meningkat kepada 10.6 juta, sekali gus menambah baik nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kepada 59:41.

-- BERNAMA