BERITA TERKINI   Tiada unsur buli babitkan kes pelajar tingkatan empat yang meninggal dunia di sebuah sekolah di Seremban - KP Pendidikan | Kerjasama itu membuka ruang penglibatan lebih strategik pada masa depan termasuk penerokaan potensi besar sektor gas asli Turkmenistan, antara pemilik rizab gas terbesar dunia - PMO | PM Anwar, Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov hari ini saksikan pemeteraian kerjasama strategik antara Petronas dan pihak berkuasa Turkmenistan - PMO | Pencapaian ini hadir sempena 30 tahun kerjasama Malaysia, Turkmenistan dalam sektor tenaga, yang menjadi antara tonggak penting hubungan dua hala kedua-dua negara - PMO | Kerjasama strategik antara Petronas, pihak berkuasa Turkmenistan buka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi dan tenaga antara Malaysia dan Turkmenistan - PMO | 

Kapal Berdaftar Malaysia Dinasihat Elak Laluan Selat Hormuz

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Semua kapal yang berdaftar di Malaysia dan syarikat perkapalan tempatan dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengelak daripada berlayar menerusi Selat Hormuz sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Jabatan Laut Malaysia (JLM) berkata ini bagi memastikan keselamatan pelayaran berikutan perkembangan keselamatan di rantau Timur Tengah. 

Agensi itu berkata pengendali kapal Malaysia perlu menilai dan merancang semula laluan pelayaran dengan mengambil kira situasi keselamatan semasa. 

“(Pengendali kapal juga dinasihatkan) untuk sentiasa memantau nasihat keselamatan maritim yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa antarabangsa berkaitan dan memastikan kapal dan anak kapal mengekalkan tahap kesiapsiagaan operasi tertinggi pada setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut JLM, semua langkah berjaga-jaga itu adalah penting berikutan peningkatan situasi keselamatan yang boleh memberi risiko kepada kapal, anak kapal dan kargo yang beroperasi di kawasan terjejas. 

Jabatan itu berkata semua pengendali kapal Malaysia yang beroperasi di dalam atau berhampiran kawasan terlibat dinasihatkan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi dan mengekalkan komunikasi yang aktif dengan pengurusan syarikat serta pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil jika diperlukan. 

“Kerjasama semua pihak berkepentingan di dalam industri perkapalan amatlah dihargai dalam memastikan bahawa operasi pelayaran Malaysia kekal selamat, teratur dan berdaya tahan bagi berdepan risiko keselamatan antarabangsa yang berubah,” tambahnya. 

-- BERNAMA