BERITA TERKINI   PRN Johor: Senarai calon BN kini di peringkat akhir - Ahmad Zahid | PRN Johor : BN utamakan tawaran terbaik buat rakyat, bukan serangan politik - Ahmad zahid | Koperasi Profesional Putrajaya Berhad catat prestasi baik, rekod tatakelola teratur - PM Anwar | Jangan ada unsur pengkhianatan dalam sebarang kerjasama politik di negara ini - PM Anwar | Aspek tatakelola penting dalam pembangunan, kegiatan koperasi di negara ini - PM Anwar | 

DNeX, MARA Meterai MoU Bangunkan Hab Perisikan Data Bersepadu

PUTRAJAYA, 2 Mac (Bernama) -- Dagang NeXchange Bhd (DNeX) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan Hab Perisikan Data Bersepadu, yang menjadi sebahagian daripada inisiatif transformasi digital menyeluruh berpacukan kecerdasan buatan (AI).

Menurut syarikat teknologi itu dalam kenyataan hari ini, hab yang dicadangkan itu akan berfungsi sebagai ekosistem digital berpusat dan berteraskan AI untuk menyelaraskan aset data MARA meliputi pelbagai bahagian dan tonggak operasinya.

“Dengan menggunakan teknologi integrasi dan analisis termaju, platform yang bersedia untuk masa hadapan ini akan menjadi teras utama transformasi digital MARA sekali gus meningkatkan kebolehcapaian data, penyatuan data merentas teras organisasi dan mempertingkat kecekapan operasi,” katanya.

Selain pengintegrasian data, MoU berkenaan turut merangkumi inisiatif untuk mempercepat penerimagunaan AI dalam MARA, termasuk pembangunan rangka kerja peningkatan kemahiran AI serta program pembangunan keupayaan untuk memupuk tenaga kerja celik digital.

Ketua Pegawai Eksekutif DNeX IT Marlishiraz Ramli berkata kerjasama itu dijangka memperkukuh kedudukan strategik syarikat dengan menawarkan akses kepada segmen pasaran baharu menerusi program bersama yang menyokong syarikat pemula niaga, usahawan dan ekosistem inovasi negara.

“Dengan mengintegrasikan penyelesaian berpacukan AI dan platform digital termaju, kami memperkasakan peranan sebagai rakan teknologi strategik kepada institusi berkaitan kerajaan yang utama seperti MARA selain menyumbang kepada pembangunan bakat negara dan inovasi digital,” katanya.

DNeX adalah syarikat teknologi global yang beroperasi melibatkan tiga bahagian teras iaitu semikonduktor, tenaga dan teknologi maklumat, serta disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

-- BERNAMA