BERITA TERKINI   Kesemua 1,936 pelajar Malaysia di Timur Tengah dilaporkan selamat susulan konflik geopolitik rantau berkenaan - Zambry | PM Anwar ucap takziah atas pemergian Naib Presiden keenam Indonesia Try Sutrisno | Penuntut lelaki itu akan didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia - AGC | Kes pijak al-Quran: Penuntut sebuah universiti akan didakwa esok di mahkamah - AGC | 

Pemberi Kredit Dan Penyedia Perkhidmatan Kredit Wajib Lesen Dan Daftar SKP - MOF

PUTRAJAYA, 2 Mac (Bernama) -- Pemberi kredit dan penyedia perkhidmatan kredit perlu memperoleh lesen serta berdaftar dengan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP), berkuat kuasa mulai 1 Jun ini, selaras dengan penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873/AKP).

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa di bawah AKP, pemberi kredit seperti syarikat skim “Beli Sekarang Bayar Kemudian” (Buy Now Pay Later/BNPL), syarikat pemajakan, dan syarikat pemfaktoran diwajibkan memperoleh lesen daripada SKP.

Sementara itu, penyedia perkhidmatan kredit seperti agensi pemungutan hutang, syarikat pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas, serta agensi kaunseling dan pengurusan hutang juga perlu berdaftar dengan SKP.

“Keperluan pelesenan dan pendaftaran ini akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026, dengan tempoh peralihan enam bulan diberikan kepada pihak industri untuk memohon lesen atau pendaftaran di bawah AKP.

“Langkah ini bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan tadbir urus industri kredit, serta memastikan amalan pemberian kredit yang lebih telus, adil, bertanggungjawab, dan profesional,” menurut kenyataan itu.

AKP telah diwartakan pada 31 Dis, 2025 dan berkuat kuasa mulai 1 Mac, 2026. Sejajar dengan penguatkuasaannya, kerajaan menubuhkan SKP bagi memperkukuh perlindungan pengguna kredit di Malaysia.

MOF memaklumkan AKP berperanan mengawal selia pelakuan industri kredit pengguna secara menyeluruh, bersepadu dan berkesan. Ini termasuk penyediaan kerangka kawal selia yang konsisten, pembangunan Piawaian Kebenaran dan Piawaian Tingkah Laku, serta pembangunan kerangka maklumat bersepadu bagi pemantauan, penyeliaan dan penguatkuasaan.

Sementara itu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata melalui penguatkuasaan AKP dan penubuhan SKP, kerajaan meneguhkan perlindungan pengguna agar mereka tidak terdedah kepada amalan kredit yang tidak adil atau tidak beretika.

“Usaha ini adalah langkah penting kerajaan bagi membina sistem kredit yang telus dan bertanggungjawab,” katanya.

-- BERNAMA