BERITA TERKINI   Kesemua 1,936 pelajar Malaysia di Timur Tengah dilaporkan selamat susulan konflik geopolitik rantau berkenaan - Zambry | PM Anwar ucap takziah atas pemergian Naib Presiden keenam Indonesia Try Sutrisno | Penuntut lelaki itu akan didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia - AGC | Kes pijak al-Quran: Penuntut sebuah universiti akan didakwa esok di mahkamah - AGC | 

Top Glove Lantik Ng Yong Lin, Lim Jin Feng Sebagai Pengarah Pengurusan Bersama

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Top Glove Corporation Bhd telah melantik pengarah eksekutifnya Ng Yong Lin dan pengarah pemasaran Lim Jin Feng sebagai pengarah urusan bersama (MD) berkuat kuasa 1 April 2026.

Pengeluar sarung  tangan itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata MD semasanya, Lim Cheong Guan, akan bersara menjelang 31 Mac selepas 20 tahun memberikan perkhidmatan yang berdedikasi dalam lembaga pengarah kumpulan berkenaan.

Lim yang telah menjadi MD sejak 2022, akan terus berkhidmat dalam kapasiti pengurusan kanan sebagai pengarah korporat, berkuat kuasa 1 April 2026, supaya kumpulan itu boleh terus mendapat manfaat daripada pengetahuan, pengalaman dan kepimpinannya yang meluas.

Top Clove ketika bercakap mengenai pelantikan MD bersama berkata struktur dwi kepimpinan akan mengukuhkan komitmen syarikat bagi membuat keputusan secara kolaboratif dan meletakkan kumpulan untuk kejayaan berterusan dalam landskap perniagaan yang dinamik.

Ng membawa hampir 17 tahun pengalaman kepimpinan dalam operasi pembuatan menerusi penyeliaannya ke atas ekosistem pembuatan pelbagai negara Top Glove.

“Keupayaannya yang terbukti dalam mengemudi persekitaran operasi yang kompleks dan meningkatkan produktiviti merentasi pelbagai kemudahan akan menjadi teras untuk memacu daya saing kumpulan, kecemerlangan operasi dan pertumbuhan jangka panjang,” kata Top Glove.

Sementara itu, Lim Jin Feng, yang telah berkhidmat dengan kumpulan itu selama 15 tahun, kini mengetuai inisiatif strategik.

“Wawasan fungsi silang dan keupayaannya untuk memacu inisiatif ini meletakkan beliau dengan baik bagi emajukan strategi pasaran, agenda inovasi dan pembangunan organisasi syarikat,” kata pembuat sarung tangan itu.

-- BERNAMA=