Sektor MICE Pulau Pinang Tumbuh Dengan Anggaran Impak Ekonomi RM1.91 Bilion Pada 2025
GEORGE TOWN, 2 Mac (Bernama) -- Aktiviti Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) di Pulau Pinang menjana anggaran impak ekonomi (EEI) sebanyak RM1.91 bilion pada 2025 iaitu peningkatan yang ketara sebanyak 47.7 peratus berbanding 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai berkata negeri ini menganjurkan sebanyak 3,391 acara tahun lepas dan menerima lebih daripada 451,198 delegasi selain menghasilkan sejumlah 824,505 malam/bilik.
"Angka-angka ini mencerminkan pemulihan sektor ini selain kepercayaan yang diberikan oleh pelabur dan penganjur terhadap Pulau Pinang serta keyakinan yang berterusan terhadap keupayaan kami untuk menganjurkan acara perniagaan yang berkualiti tinggi dan memberi impak besar.
"Melangkah ke hadapan, terdapat potensi yang kukuh untuk pertumbuhan lanjut dalam sektor-sektor seperti pembuatan maju, kecerdasan buatan dan industri berkaitan maritim," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Business Events Penang 2025 Annual Review yang dianjurkan oleh Penang Convention & Exhibition Bureau di sini malam ini.
Beliau menambah sektor-sektor baharu dan strategik ini menawarkan peluang baharu untuk menarik acara perniagaan bernilai tinggi yang seiring dengan keutamaan ekonomi jangka panjang Pulau Pinang.
Wong berkata, memajukan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang melalui acara korporat dan profesional merupakan usaha yang kolaboratif melibatkan kerajaan negeri, pihak berkepentingan industri, pemain pelancongan dan komuniti acara perniagaan yang lebih meluas.
Selain itu, beliau berkata pelbagai jenis acara yang dianjurkan di Pulau Pinang seperti sains, kejuruteraan, penjagaan kesihatan, sukan, undang-undang, bahasa dan kesusasteraan, menunjukkan kematangan negeri ini sebagai destinasi MICE dengan keupayaan dan fleksibiliti untuk menyokong pelbagai jenis acara profesional dan berasaskan pengetahuan.
"Saya gembira untuk menyatakan bahawa sektor acara perniagaan Pulau Pinang terus menunjukkan pertumbuhan yang kukuh," tambahnya.
--BERNAMA