BERITA TERKINI   Pengembangan berterusan portfolio pinjaman dan deposit tingkatkan untung bersih Public Bank kepada RM1.75 bilion pada suku pertama 2026 daripada RM1.74 bilion suku pertama 2025 | KPT struktur semula 36 politeknik, tawar pengajian peringkat Ijazah dan Sarjana selari keperluan industri berteknologi tinggi - Zambry | Permintaan buruh Malaysia meningkat 1.8 peratus tahun ke tahun, merekodkan 9.23 juta jawatan pada suku pertama 2026 - DOSM | Kerajaan teliti insentif untuk percepat penggunaan trak EV susulan peningkatan kos subsidi diesel - Loke | Malaysia perlu bina kemampuan eksport berdaya tahan dan tidak bergantung kepada pelepasan tarif sementara AS - Akmal Nasrullah | 

U Mobile, Huawei Tandatangani MoU Percepatkan Pengunaan Teknologi Inovasi 5G-A Dan AI

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- U Mobile menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd bagi mempercepat pembangunan aplikasi canggih selaras matlamat transformasi digital syarikat.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua syarikat memaklumkan MoU yang ditandatangani sempena Mobile World Congress (MWC) 2026 di Barcelona itu menumpukan kepada penciptaan bersama penyelesaian teknologi maju serta membina ekosistem inovas yang mampan melalui penggunaan 5G-Advanced (5G-A), Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi baharu berkaitan.

“Kerjasama ini merangkumi percubaan rangkaian 5G 3.5GHz menggunakan dua saluran frekuensi bagi menilai dan mempamerkan penggunaan spektrum secara efisien, termasuk ciri 5G-A seperti penggabungan 3CC carrier. Hasil percubaan ini bertujuan menyokong perancangan spektrum berasaskan bukti, memberi panduan dasar, dan membolehkan penyediaan perkhidmatan generasi akan datang,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pihak akan bekerjasama mereka bentuk dan membangunkan pengalaman perkhidmatan permainan yang disokong 5G-A, menggunakan teknologi canggih seperti 5G network slicing untuk meningkatkan kependaman (latency), kestabilan dan kualiti perkhidmatan secara keseluruhan.

Selain itu, penggunaan AI dalam rangkaian U Mobile akan diterokai bagi mempertingkat operasi rangkaian pintar dan autonomi.

Ketua Pegawai Teknologi U Mobile Woon Ooi Yuen berkata MoU itu selaras dengan matlamat transformasi digital syarikat, termasuk percubaan 5G 3.5GHz untuk penggunaan spektrum lebih efisien serta peningkatan pengalaman permainan menerusi 5G network slicing.

“Kami juga akan bekerjasama mengintegrasikan AI dalam operasi rangkaian, dengan sasaran mencapai Autonomous Network Level 4, beralih daripada model penyelenggaraan reaktif bergantung manusia kepada pendekatan proaktif melalui pengurusan automatik. Selain mengurangkan kos operasi dan kerumitan rangkaian, ia juga bermakna peningkatan kebolehpercayaan dan konsistensi rangkaian serta pengalaman ULTRA5G yang lebih baik bagi pelanggan kami,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Zac Chow berkata kerjasama itu akan meningkatkan kecekapan spektrum dan menyediakan pengalaman pengguna lebih pantas dan stabil.

“Bersama-sama, kami berhasrat memanfaatkan teknologi ini untuk menyediakan perkhidmatan generasi akan datang, mengautomasikan operasi rangkaian dan membangunkan kepakaran tempatan yang memberi manfaat jangka panjang kepada pengguna dan perniagaan di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA