CIMB Nafi Dakwaan Pelanggaran Data Libatkan 1.2 Juta Rekod
KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- CIMB Group Holdings Bhd memberi jaminan bahawa dakwaan yang tersebar dalam talian mengenai pelanggaran data melibatkan pelanggannya adalah tidak benar sebaliknya data pelanggan terus dilindungi.
Menerusi platform media sosial X, penyedia perkhidmatan kewangan itu menjelaskan pasukan keselamatannya telah mengesahkan semua sistem adalah selamat dan data pelanggan kekal dilindungi sepenuhnya.
Ini susulan timbulnya dakwaan mengenai insiden keselamatan siber baharu berisiko tinggi yang menyasarkan sektor kewangan Malaysia, dengan laporan mendakwa berlakunya pelanggaran data yang besar melibatkan pelanggan CIMB Bank.
Set data yang didakwa bocor itu dikatakan mengandungi 1.2 juta rekod unik maklumat kewangan sensitif, termasuk butiran pengenalan peribadi, nama penuh dan data kewangan.
-- BERNAMA