BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI komited tambah baik pemberian Persekutuan kepada semua kerajaan negeri setiap tahun, manfaat seluruh rakyat tanpa mengira negeri - PM Anwar  | Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan sepenuhnya 100 peratus kutipan cukai pelancongan kepada negeri masing-masing - PM Anwar | Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri dijangka mencecah RM10.5 bilion tahun ini berbanding RM10.3 bilion tahun 2025 - PM Anwar  | Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM hari ini kekalkan OPR pada 2.75 peratus | 

Pengeluar Automotif Digesa Perluas Penyertaan Vendor Tempatan Dalam Rantaian Bekalan

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Pengeluar automotif yang beroperasi di Malaysia digesa meningkatkan penggunaan komponen serta perkhidmatan tempatan dengan melibatkan vendor tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan global mereka.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata Malaysia berharap lebih banyak syarikat tempatan dapat mengambil bahagian dalam rantaian bekalan automotif ketika pengeluar global terus memperluas kehadiran mereka di negara ini.

“Keberhasilan sebenar bukan sekadar diukur melalui jumlah jualan, tetapi juga pembangunan kandungan tempatan. Kita mahu melihat vendor Malaysia dan PKS disepadukan dalam rantaian bekalan global anda,” katanya pada majlis pelancaran Jaecoo J5 di sini hari ini.

Beliau menggesa pengeluar automotif menyokong pertumbuhan ekosistem automotif negara melalui pemindahan teknologi, pembangunan bakat serta peningkatan perolehan komponen daripada pembekal tempatan.

Pengeluar juga perlu berkongsi kepakaran dengan pengeluar komponen tempatan bagi membantu mereka muncul sebagai pembekal global, di samping melabur dalam latihan untuk jurutera dan juruteknik Malaysia supaya mampu mengendalikan teknologi automotif yang semakin canggih.

“Apabila vendor tempatan berkembang, keseluruhan ekosistem akan menjadi lebih berdaya saing dan pada masa sama memberi manfaat kepada syarikat melalui pangkalan operasi global yang lebih cekap serta kos yang lebih efektif,” katanya.

Seruan itu dibuat ketika pemain automotif global terus memperluas kehadiran mereka di Malaysia, dengan sektor berkenaan menerima manfaat daripada peningkatan pelaburan dalam pembuatan, rantaian bekalan serta penyelidikan dan pembangunan.

-- BERNAMA