BERITA TERKINI   Keputusan CAS mengecewakan pemain, tidak seimbang dibandingkan dengan hukuman dalam kes-kes serupa pernah diputuskan- FAM | Pertemuan parti Melayu-Islam semalam bagi perkukuh agenda agama Islam dan kepentingan Bumiputera - Ahmad Zahid | Laporan Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham Azam Baki dijangka diterima hari ini -- PM anwar | ADUN Bukit Tambun Goh Choon Aik angkat sumpah sebagai Exco Pulau Pinang hari ini | Pelaburan asing melonjak 20.9 peratus kepada RM207.1 bilion, cerminkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kestabilan, dasar yang jelas dan hala tuju ekonomi Malaysia - PM  | 

Ringgit Dibuka Hampir Mendatar Didorong Sentimen Berhati-hati Dalam Pasaran Pertukaran Asing

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Ringgit dibuka hampir mendatar berbanding dolar AS pada Jumaat apabila sentimen pasaran pertukaran asing kekal berhati-hati susulan tiada petunjuk krisis di Timur Tengah mereda sepanjang minggu ini.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 3.9430/9550 berbanding dolar AS daripada 3.9415/9480 semasa ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen mengelak risiko terus mendominasi pasaran, dengan indeks utama rendah manakala harga minyak kekal tinggi, mencerminkan persekitaran dagangan yang berhati-hati.

Pada peringkat domestik, katanya keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) semalam adalah selaras dengan jangkaan ahli ekonomi dan penggubal dasar dilihat memantau perkembangan di Timur Tengah sebelum membuat sebarang perubahan kepada pendirian dasar monetari semasa.

“Oleh itu, ringgit dijangka kekal dalam jajaran kecil hari ini,” katanya.

Setakat ini, minyak mentah Brent diniagakan pada US$85.41 setong manakala hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh 10 tahun meningkat empat mata asas kepada 4.13 peratus.

Semalam, ringgit ditutup 0.04 peratus lebih rendah berbanding dolar AS pada RM3.9447, selepas bergerak dalam jajaran kecil pada RM3.9305 hingga RM3.9483.

Pada pembukaan dagangan, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.5762/5902 daripada 4.5808/5884 semasa ditutup pada Khamis dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5024/5102 daripada 2.5080/5124 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding pound kepada 5.2659/2819 daripada 5.2635/2722 semalam.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.4072/4539 daripada 12.4711/5016 pada Khamis dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0795/0891 daripada 3.0885/0938 semalam.

Mata wang tempatan berubah sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 233.2/234.0 daripada 233.1/233.6 sebelum ini dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.72/6.75 daripada 6.72/6.74.

-- BERNAMA