BERITA TERKINI   Lebih RM13 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) setakat 31 Jan lepas - Akauntan Negara | 

Alat Digital Perlu Ada Jajaran Strategik Agar Ia Memberi Impak -- CelcomDigi

 

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Perniagaan Malaysia mesti bergerak lebih daripada sekadar menggunakan alat digital dan sebaliknya memastikan pelaburan teknologi dapat diselaraskan dengan objektif yang jelas, kesediaan organisasi serta impak yang boleh diukur.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi Bhd, Afizulazha Abdullah berkata akses kepada ketersambungan dan penyelesaian digital bukan lagi menjadi cabaran kepada banyak organisasi tetapi halangan utamanya sekarang adalah pelaksanaan yang berkesan serta penyepaduan ke dalam operasi harian.

“Ia bukan lagi isu sama ada alat itu tersedia. Organisasi perlu membenamkan alat-alat ini ke dalam operasi mereka. Mereka perlu menjadi lebih dipacu data dalam operasi, produktiviti dan membuat keputusan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Banyak syarikat sedang bergelut disebabkan penjajaran yang lemah antara keutamaan perniagaan dan keupayaan pelaksanaan, sambil menambah bahawa penjajaran adalah batu penghalang terbesar dalam transformasi digital.

Beliau berkata penglibatan berbilang vendor dan sistem tanpa pelan tindakan seni bina yang jelas boleh mengakibatkan kerumitan yang tidak terurus, maklumat yang berselerak, kos yang lebih tinggi selain kelembapan dalam pelaksanaan.

“Persekitaran berbilang vendor, berbilang sistem boleh membawa kepada kerumitan yang tidak terurus. Jadi syarikat sewajarnya perlu menyediakan pelan dan struktur pemilikan yang jelas sebelum melancarkan penyelesaian,” katanya.

 

Menentukan Hasil

Menurut Afizulazha, sesebuah syarikat perlu menentukan hasil yang diharapkan sebelum membuat keputusan mengenai penggunaan teknologi, khususnya dalam bidang seperti pengalaman pelanggan, pertumbuhan hasil dan kecekapan operasi.

Syarikat ini juga harus bermula dari kecil, belajar dengan cepat dan melaksanakan peningkatan berbanding kekal dalam mod ujian berterusan, katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan menetapkan penunjuk prestasi utama yang jelas iaitu dari awal lagi bagi menjamin inisiatif digital mereka boleh menyampaikan penambahbaikan operasi yang nyata, termasuk mengurangkan masa henti, meningkatkan penggunaan aset dan perkhidmatan pelanggan yang lebih baik.

“Perniagaan perlu tahu terlebih dahulu apa yang mereka mahu ukur dan mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas. Mereka mesti memastikan proses kejuruteraan semula dilakukan serta pengurusan perubahan dilaksanakan, dengan impak yang boleh diukur. Barulah mereka akan berjaya,” katanya.

Afizulazha ketika mengulas mengenai keselamatan siber memberitahu perlindungan mesti dibenamkan pada peringkat reka bentuk dan dibina ke dalam seni bina sistem sejak permulaan, bukannya dianggap sebagai sesuatu yang difikirkan atau dikuatkuasakan kemudian, terutamanya dalam persekitaran sambungan hiper hari ini, yang mana gangguan perkhidmatan boleh membawa akibat yang ketara.

Dalam persekitaran ketersambungan hiper seperti hari ini, perniagaan perlu memastikan platform mereka bukan sahaja selamat tetapi juga dipercayai dan tersedia secara berterusan, memandangkan masa muat turun atau pencerobohan boleh mengganggu operasi secara serius selain menghakis keyakinan pelanggan, katanya.

Memandang ke hadapan, Afizulazha menjelaskan perniagaan Malaysia harus mengutamakan dua bidang utama bagi memastikan daya saing jangka panjang iaitu data dan daya tahan siber.

Data akan menjadi aset strategik untuk perniagaan. Oleh itu, ia sewajarnya diurus dan dilindungi dengan betul kerana data boleh diubah menjadi pandangan dalam menyokong pembuatan keputusan serta tindakan yang bijak.

Syarikat juga mesti memastikan platform mereka kekal berdaya tahan dan tersedia secara konsisten di tengah-tengah peningkatan jangkaan pelanggan dalam persekitaran yang semakin terhubung, yang menyaksikan masa henti tidak dapat diterima lagi.

“Pendigitalan bukan merupakan projek sekali sahaja, ia bersifat berterusan. Bukan sahaja teknologi berkembang, malah jangkaan pelanggan (sentiasa) berubah,” katanya.

Afizulazha berkata organisasi yang masih belum menyesuaikan diri dengan perkembangan tingkah laku pengguna berisiko ketinggalan kerana kemudahan digital sudah menjadi kebiasaan di seluruh industri.

-- BERNAMA