BERITA TERKINI   Lembaga Disiplin JPA akan bermesyuarat berhubung hasil laporan siasatan isu pemilikan saham KP SPRM dalam masa terdekat - KSN | Kenaikan gred pembantu tadbir Gred 1 kepada Gred 5 dilaksana secara berperingkat, ambil kira pelbagai syarat kelayakan - KSN | Harga minyak mentah Brent turun kepada US$94.22 setong hari ini berbanding paras tertinggi semalam pada US$118.60 setong | Konflik Asia Barat: KPDN tingkat pemantauan risiko penyeludupan bahan api di sempadan negara - Armizan | Skim Harga Maksimum Musim Perayaan berkuat kuasa 14-28 Mac, libatkan 27 jenis barangan - Armizan | 

Unit Velesto Rancang Program Sukuk Wakalah RM1 Bilion

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) — Velesto Energy Bhd memulakan langkah penubuhan program Sukuk Wakalah dengan had gabungan sehingga RM1.0 bilion dengan mengemukakan dokumen diperlukan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia. 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu berkata hasil yang diperoleh daripada terbitan sukuk akan digunakan untuk tujuan patuh syariah, termasuk pelaburan dan aktiviti korporat am, perbelanjaan modal, keperluan modal kerja dan membiayai semula pembiayaan Islam sedia ada atau pinjaman konvensional. 

“Sebahagian daripada pendapatan juga boleh digunakan untuk membiayai semula pembiayaan Islam masa depan, atau sukuk yang dikeluarkan di bawah program tersebut, serta untuk menampung yuran dan perbelanjaan berkaitan dengan penubuhan program itu,” kata Velesto. 

Kesemua dokumen itu diserahkan hari ini oleh anak syarikat milik penuhnya, Sumber Ribu Sdn Bhd, mengikut Garis Panduan SC mengenai Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai di bawah Rangka Kerja Serah dan Pelancaran (Garis Panduan LOLA).

Program Sukuk Wakalah itu akan membolehkan Velesto dan kumpulan syarikatnya mengumpul dana menerusi penerbitan Kertas Komersial Islam (ICP) dan/atau Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) dari semasa ke semasa. 

RAM Rating Services Bhd telah memberikan penarafan jangka pendek P1(s) dan penarafan jangka panjang AA2(s) dengan tinjauan stabil untuk program tersebut.

Maybank Investment Bank Bhd pula dilantik sebagai penasihat utama, pengatur utama dan pengurus utama, untuk program Sukuk Wakalah, manakala Maybank Islamic Bhd bertindak sebagai penasihat syariah. 

-- BERNAMA