BERITA TERKINI   Pasaran tukaran asing tempatan terus mencatat purata jumlah dagangan harian kukuh US$21.4 bilion (purata 2025 : US$19.8 bilion) -- Jawatankuasa Pasaran Kewangan | Sentimen pelabur yang positif dan kekukuhan ringgit dijangka berterusan pada 2026 -- Jawatankuasa Pasaran Kewangan | Permintaan terhadap bon kerajaan kekal mantap dengan kadar hasil MGS yang kukuh, disokong oleh permintaan pelabur domestik dan bukan pemastautin - Jawatankuasa Pasaran Kewangan | Pasaran Malaysia menunjukkan daya tahan dalam persekitaran tempoh ketidaktentuan global ini namun tetap berwaspada terhadap risiko konflik yang berlarutan - Jawatankuasa Pasaran Kewangan | Ringgit ditutup rendah kepada 3.9240/9280 berbanding dolar AS daripada 3.9175/9230 pada Rabu | 

MyANGKASA, Optimax Meterai MoU, Sediakan Rawatan Mata Kepada Anggota Koperasi

SERI KEMBANGAN, 9 Mac (Bernama) -- MyANGKASA Holdings Sdn Bhd (MHSB), anak syarikat milik penuh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Optimax Eye Specialist Centre bagi memperluas akses perkhidmatan rawatan mata kepada anggota koperasi dan keluarga mereka di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata kerjasama strategik itu merupakan satu langkah penting dalam memudahkan anggota koperasi mendapatkan rawatan kesihatan mata termasuk pembedahan berkaitan penglihatan.

“Kerjasama strategik telah terbentuk antara MHSB dan Optimax adalah satu langkah strategik yang baik khususnya bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada anggota koperasi di seluruh negara.

“Bukan hanya anggota koperasi tetapi ahli keluarga mereka juga akan mendapat manfaat daripada MoU ini untuk mendapatkan rawatan mata termasuk pembedahan berkaitan mata,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian MoU berkenaan.

Beliau berkata menerusi kerjasama itu, anggota koperasi boleh mendapatkan rawatan tanpa perlu membuat bayaran pendahuluan kerana pembayaran boleh dilakukan melalui kaedah potongan gaji.

“Dengan cara potongan gaji, anggota dapat memudahkan urusan rawatan tanpa perlu mengeluarkan duit pendahuluan. Ini merupakan satu langkah yang berani yang diambil oleh MHSB,” katanya.

MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Presiden Angkasa dan Pengarah MHSB Datuk Che Mohd Shukree Che Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Optimax Eye Specialist Centre Sandy Tan Sing Yee.

Rawatan dan prosedur kesihatan mata ditawarkan kepada anggota koperasi melalui kemudahan Sistem Potongan Gaji ANGKASA bagi memudahkan pembayaran secara berperingkat.

Program berkenaan melibatkan rangkaian 24 cawangan Optimax di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan akses kepada pelbagai rawatan mata termasuk pembetulan rabun serta rawatan bagi penyakit mata lain.

-- BERNAMA