Kadar Kemalangan Udara Global 2026 Menurun Walaupun Kehilangan Nyawa Tinggi - IATA

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) melaporkan bahawa pada 2025, kadar kesemua kemalangan global menurun kepada 1.32 kecelakaan untuk setiap juta penerbangan (satu kemalangan bagi setiap 759,646 penerbangan) berbanding 1.42 yang dicatatkan pada 2024 tetapi melebihi purata lima tahun 2021–2025 iaitu 1.27.

IATA melalui Laporan Keselamatan Tahunan 2025 memberitahu terdapat hanya 51 kemalangan dalam kalangan 38.7 juta penerbangan pada 2025 berbanding 54 kemalangan dalam kalangan 37.9 juta penerbangan semasa 2024, tetapi melebihi purata lima tahun iaitu 44 kemalangan.

“Terdapat lapan kemalangan maut pada 2025 berbanding tujuh yang direkodkan pada 2024 dan melebihi purata lima tahun iaitu enam kemalangan maut,” katanya melalui satu kenyataan berikutan pengeluaran laporan itu.

Terdapat 394 kematian di atas kapal pada 2025 daripada hanya 244 kematian yang dilaporkan pada 2024 dan purata lima tahun sebanyak 198.

“Penerbangan masih menjadi perjalanan jarak jauh yang paling selamat. Kemalangan sangat jarang berlaku dan setiap satu mengingatkan kita untuk lebih fokus pada peningkatan berterusan melalui piawaian global termasuk kerjasama berpandukan data keselamatan.

“Hasil usaha itu jelas dalam bagaimana kadar purata lima tahun kematian telah bertambah baik,” menurut Ketua Pengarah IATA Willie Walsh.

Beliau menyatakan bahawa sedekad lalu kadar itu berada pada satu kemalangan maut bagi setiap 3.5 juta penerbangan (2012–2016).

Hari ini, ia adalah satu kemalangan maut untuk setiap 5.6 juta penerbangan (2021–2025).

“Penerbangan adalah sangat selamat sehinggakan satu kemalangan di antara hampir 40 juta operasi penerbangan setiap tahun menggerakkan data global.

“Matlamat penerbangan adalah sentiasa untuk sifar kemalangan dan kematian,” kata Walsh.

Laporan itu juga menjelaskan jenis kemalangan yang paling biasa di seluruh dunia ialah hentaman pada ekor, kegagalan gear pendaratan, tergelincir dari landasan dan kerosakan darat, yang menekankan kepentingan keselamatan semasa operasi berlepas, pendaratan serta pengendalian darat.

Kemudahan lapangan terbang menyumbang kepada 16 peratus kemalangan pada 2025, mengukuhkan keperluan bagi mematuhi piawaian keselamatan landasan global.

“Infrastruktur lapangan terbang dan persekitaran landasan memainkan peranan penting dalam keputusan kemalangan.

“Dalam beberapa kejadian, halangan tegar berhampiran landasan telah meningkatkan keseriusan kemalangan, berkemungkinan mengubah kejadian yang boleh terselamat menjadi maut,” kata Walsh.

Semua lapangan terbang dan pengawal selia harus terus mengkaji kawasan dan struktur keselamatan berhampiran landasan untuk mematuhi piawaian keselamatan global.

Di rantau Asia-Pasifik, kadar semua kemalangan bertambah kepada 0.91 pada 2025 daripada 1.08 setiap juta sektor pada 2024, lebih baik berbanding purata lima tahun iaitu 0.99, dengan enam kemalangan direkodkan.

Risiko kematian kekal tidak berubah pada 0.15 pada 2025. Jenis kemalangan yang paling biasa di rantau ini adalah kerosakan darat dan hentaman pada ekor.

Sementara itu, Walsh turut memberi amaran mengenai peningkatan risiko global yang dikaitkan dengan zon konflik serta gangguan Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS)

“Pesawat awam tidak boleh diletakkan pada risiko berikutan aktiviti ketenteraan sama ada secara sengaja atau tidak.

“Apabila ketegangan memuncak, kerajaan terbabit mesti berkongsi maklumat risiko yang tepat pada masanya, memastikan penyelarasan awam-tentera yang berkesan, menyekat ruang udara jika perlu dan menyediakan syarikat penerbangan maklumat yang mencukupi untuk penilaian risiko mereka sendiri,” katanya lagi.

-- BERNAMA