Bursa Malaysia Melantun Pada Akhir Dagangan, Cecah Semula Paras 1,700
Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia meningkat semula ketika mengakhiri dagangan Selasa dengan indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencecah paras psikologi 1,700, didorong oleh pemulihan sentimen global.
Perkembangan itu susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang membayangkan kemungkinan konflik dengan Iran akan mereda manakala di peringkat tempatan menyaksikan data Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia yang lebih kukuh.
Pada 5 petang, FBM KLCI menokok 27.51 mata atau 1.64 peratus kepada 1,701.68 daripada paras penutup 1,674.17, semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka meningkat 10.68 mata kepada 1,684.85 yang juga paras terendah hari ini namun kemudiannya melantun kepada 1,703.61 pada sesi lewat tengah hari.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 929 berbanding 382, sebanyak 361 kaunter tidak berubah, 982 tidak diniagakan dan 19 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan susut kepada 3.60 bilion unit bernilai RM3.75 bilion daripada 5.52 bilion unit bernilai RM5.87 juta.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kenyataan Trump itu mencetuskan kelegaan sementara bagi pasaran diasak tekanan akibat konflik geopolitik di Asia Barat yang kian meruncing.
“Harga minyak mentah juga susut ke paras bawah US$100 setong selepas mencatat lonjakan ketara sebelum ini, sekali gus mengurangkan kebimbangan mengenai inflasi dalam masa terdekat walaupun (realitinya) risiko bekalan terjejas tetap ada,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata walaupun mencatat pemulihan, FBM KLCI masih belum berupaya menampung sepenuhnya kejatuhan mendadak semalam berikutan sentimen pelabur yang kekal berhati-hati susulan ketidaktentuan geopolitik yang berlanjutan selain kebimbangan mengenai prospek pertumbuhan global.
Di peringkat makroekonomi, Mohd Sedek berkata IPP Malaysia tumbuh 5.9 peratus tahun ke tahun pada Januari 2026 berbanding 4.8 peratus dalam bulan sebelumnya, didorong oleh sektor pembuatan yang berkembang 7.3 peratus.
“Secara menyeluruh, data pengeluaran perindustrian dan data pembuatan yang kukuh itu hanya memaparkan kelangsungan daya tahan dalam sektor berorientasikan eksport Malaysia, terutama industri elektrikal dan elektronik.
“Peningkatan output dan jualan memberi sokongan dari segi latar belakang asas pasaran ekuiti Malaysia selain mencadangkan bahawa pendapatan korporat, terutama dalam sektor berkaitan pembuatan dan perindustrian, berkemungkinan kekal berdaya tahan dalam suku-suku akan datang walaupun dalam senario ketidak tentuan geopolitik,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank melonjak 20 sen kepada RM11.66, Public Bank menokok 13 sen kepada RM4.87, CIMB Group naik lapan sen kepada RM7.85, Tenaga Nasional meraih 30 sen kepada RM14.14 dan IHH Healthcare meningkat 36 sen kepada RM9.01.
Selain itu, bagi kaunter paling aktif, AirAsia X naik 19 sen kepada RM1.29, Capital A menambah empat sen kepada 45 sen, Zetrix AI meraih 1.5 sen kepada 78.5 sen, Tanco Holdings meningkat dua sen kepada RM1.53 manakala Pharmaniaga tidak berubah pada 24 sen.
Kaunter paling untung didahului oleh Malaysian Pacific Industries yang naik RM1.50 kepada RM30.54, Nestle menokok RM1.40 kepada RM104, Allianz Malaysia menambah 80 sen kepada RM21.30, Dutch Lady Milk Industries meraih 66 sen kepada RM31.66 manakala Hong Leong Bank naik 68 sen kepada RM22.98.
Bagi kaunter paling rugi pula, United Plantations merosot 44 sen kepada RM31.26, Hengyuan Refining Company turun 41 sen kepada RM1.49, MISC berkurangan 27 sen kepada RM8.46, Hibiscus Petroleum turun 28 sen kepada RM2.11 dan Petronas Chemicals susut 22 sen kepada RM3.93.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Top 100 menokok 206.32 mata kepada 12,270.59, Indeks FBM Emas meraih 203.31 mata kepada 12,427.80, FBM 70 melonjak 322.67 mata kepada 17,064.70, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 172.19 mata kepada 12,101.65 dan Indeks FBM ACE menambah 152.49 mata kepada 4,359.22.
Bagi prestasi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 405.71 mata kepada 20,677.05 manakala Indeks Perladangan turun 72.52 mata kepada 8,367.49, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.39 mata kepada 172.08 dan Indeks Tenaga berkurangan 25.19 mata kepada 781.55.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 2.18 bilion unit bernilai RM3.49 bilion daripada 3.74 bilion unit bernilai RM5.55 bilion, semalam.
Selain itu, jumlah dagangan waran susut kepada 1.09 bilion unit bernilai RM126.20 juta daripada 1.30 bilion unit bernilai RM153.66 juta pada akhir dagangan semalam.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 326.97 juta unit bernilai RM125.58 juta berbanding 480.45 juta unit bernilai RM159.24 juta sebelum ini.
Dalam pada itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 461.93 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama dan diikuti dengan produk dan perkhidmatan perindustrian (357.23 juta), pembinaan (172.08 juta), teknologi (236.34 juta), perkhidmatan kewangan (101.32 juta), hartanah (198.83 juta), perladangan (21.34 juta), amanah pelaburan hartanah (26.44 juta), dana tertutup (40,400), tenaga (384.42 juta), penjagaan kesihatan (109.71 juta), telekomunikasi dan media (37.56 juta), pengangkutan dan logistik (32.44 juta), utiliti (48.19 juta) serta amanah perniagaan (130,500).
-- BERNAMA