BERITA TERKINI   ACLE: Sanfrecce Hiroshima 1-0 JDT. JDT mara ke suku akhir secara agregat 3-2 | Penerima bantuan tunai BUDI Diesel dinaikkan kepada RM300 sebulan bagi tempoh interim - Kementerian Kewangan | Kerajaan MADANI kekalkan harga RON95 di bawah inisiatif BUDI95 pada RM1.99 seliter walaupun harga pam petrol RON95, diesel meningkat - Kementerian Kewangan | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Lebih Rendah

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah pada Rabu, apabila dolar Amerika Syarikat mengukuh dan harga minyak pulih, kata seorang penganalisis.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pengukuhan dolar AS mendorong hasil AS lebih tinggi daripada paras terendah pada pagi susulan laporan bahawa sebuah kapal kargo telah diserang di Selat Hormuz. 

“Walaupun ia mungkin dilihat sebagai tidak masuk akal bahawa emas akan susut ketika ketegangan geopolitik meningkat, logam berharga itu kini kurang diniagakan sebagai aset selamat tradisional dan lebih kepada aset makro silang yang berkorelasi negatif dengan dolar AS dan hasil sebenar AS, kedua-duanya dipengaruhi oleh kenaikan harga minyak mentah terkini,” katanya kepada Bernama. 

Ketika ini, harga minyak mentah Brent meningkat 3.78 peratus kepada US$90.96 setong. 

Sementara itu, ketika ditutup kontrak semerta bulan Mac 2026 susut kepada US$5,199.7 setiap auns troy daripada US$5,200.4 pada Selasa, April 2026 sedikit lebih rendah pada US$5,218.5 setiap auns troy berbanding US$5,219.4 semalam, dan Mei 2026 berkurang kepada US$5,237.7 setiap auns troy daripada US$5,238.6 semalam.

Kontrak Jun dan Ogos 2026 juga ditutup lebih rendah pada US$5,271.6 setiap auns troy berbanding US$5,272.5 sebelumnya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 13 lot berbanding sembilan lot semalam, manakala kepentingan terbuka susut kepada 85 kontrak daripada 86 kontrak sebelumnya. 

Harga emas fizikal berada pada US$5,209.7 setiap auns troy pada penetapan London Bullion Market Association pada 10 Mac 2026. 

-- BERNAMA