Pengeluaran Getah Asli Malaysia Turun 0.4 Peratus, Eksport Meningkat Pada Januari 2026

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Pengeluaran getah asli turun 0.4 peratus kepada 28,579 tan pada Januari 2026 daripada 28,684 tan pada Disember 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Dr Mohd Uzir Mahidin berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 41,983 tan pada Januari 2026, meningkat 30.6 peratus daripada 32,139 tan pada Disember 2025.

“Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 5.9 peratus (Januari 2025: 30,357 tan).

“Pengeluaran getah asli Malaysia pada Januari 2026 disumbangkan terutama oleh pekebun kecil (87.6 peratus) berbanding estet (12.4 peratus),” katanya dalam kenyataan Perangkaan Getah Bulanan, Malaysia, Januari 2026 yang dikeluarkan DOSM hari ini.

Beliau berjata jumlah stok getah asli pada Januari 2026 meningkat 9.3 peratus kepada 133,042 tan daripada 121,686 tan pada Disember 2025.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 80.5 peratus diikuti kilang pengguna getah (19.3 peratus) dan estet getah (0.1 peratus), katanya.

“China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu menyumbang 40.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Januari 2026 diikuti Emiriah Arab Bersatu (15.2 peratus), Jerman (13.6 peratus), Amerika Syarikat (AS) (5.6 peratus) dan Brazil (3.6 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai RM1.2 bilion pada Januari 2026, menurun 8.5 peratus berbanding Disember 2025 (RM1.3 bilion),” katanya.

Beliau berkata analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan 0.01 peratus (Januari 2026: 576.14 sen sekilogram; Disember 2025: 576.20 sen sekilogram) manakala sekerap meningkat 4.5 peratus (Januari 2026: 618.72 sen sekilogram; Disember 2025: 592.08 sen sekilogram).

Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan harga Januari 2026 bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 5.9 peratus (daripada US$1.74/sekilogram kepada US$1.84/sekilogram) dan Singapura/Malaysia meningkat 3.9 peratus (daripada US$2.06/sekilogram kepada US$2.14/sekilogram.

Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Januari 2026, pasaran getah Kuala Lumpur menunjukkan trend bercampur tetapi secara keseluruhannya stabil pada Januari 2026.

“Harga disokong oleh bekalan bahan mentah yang semakin terhad berikutan cuaca hujan di negara pengeluar utama, peningkatan harga niaga hadapan getah serantau, serta petunjuk ekonomi positif dari A dan China, termasuk perkembangan baik dalam sektor automotif China.

“Bagaimanapun, kenaikan harga dihadkan oleh ketidaktentuan dasar perdagangan dan tarif AS, ketegangan geopolitik, turun naik harga minyak mentah, aktiviti pengambilan untung dalam pasaran niaga hadapan, serta pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS,” jelasnya.

Secara keseluruhan, kekangan bekalan dan faktor makroekonomi yang menyokong telah membantu mengekang risiko penurunan harga, menjadikan pasaran stabil dengan sedikit kecenderungan meningkat sepanjang bulan tersebut.

-- BERNAMA