BERITA TERKINI   KSN, PETRA diminta teliti pendekatan menyeluruh atasi banjir, bekalan air di Sarawak - PM Anwar | Sultan Selangor titah rakyat bersabar tunggu pengumuman tarikh Aidilfitri, jangan percaya spekulasi - Istana Alam Shah | Konflik Asia Barat: PM Anwar minta KSN dan KPPA teliti cadangan penjawat awam bekerja daripada rumah - Fahmi  | Subsidi kerajaan naik kepada RM3.2 bilion daripada RM700 juta sebulan untuk petrol dan diesel - Amir Hamzah | Kerajaan berusaha memastikan bekalan bahan api berterusan selepas Mei - Amir Hamzah | 

Malaysia Airlines Lanjutkan Penggantungan Perkhidmatan Laluan Doha Sehingga 20 Mac

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Malaysia Airlines melanjutkan penggantungan sementara perkhidmatan bagi laluan Doha sehingga 20 Mac, 2026 susulan perkembangan berterusan melibatkan persekitaran keselamatan di negara terbabit.

Sebelum ini, perkhidmatan bagi laluan Doha digantung bermula 28 Feb, 2026 berikutan penutupan ruang udara yang menjejaskan negara itu akibat konflik antara Amerika Syarikat dan Iran.

Syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG) memaklumkan syarikat penerbangan itu terus memantau rapat situasi tersebut melalui penilaian risiko berterusan serta Notis kepada Juruterbang (NOTAM) yang berkaitan sebelum menyambung kembali operasi.

“Syarikat penerbangan itu juga meningkatkan kapasiti pesawat berbadan lebar antara Asia dan Eropah untuk menyokong perjalanan seterusnya serta menyatukan semula ahli keluarga, dengan penerbangan beroperasi melalui laluan alternatif yang dirancang dengan teliti bagi mengelakkan kawasan yang terjejas,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, semua perkhidmatan lain oleh syarikat penerbangan negara tersebut, termasuk laluan Jeddah, Madinah, London dan Paris, terus beroperasi seperti yang dijadualkan.

“Keselamatan penumpang dan anak kapal kekal sebagai keutamaan tertinggi kami,” tambah MAG.

-- BERNAMA