BERITA TERKINI   KSN, PETRA diminta teliti pendekatan menyeluruh atasi banjir, bekalan air di Sarawak - PM Anwar | Sultan Selangor titah rakyat bersabar tunggu pengumuman tarikh Aidilfitri, jangan percaya spekulasi - Istana Alam Shah | Konflik Asia Barat: PM Anwar minta KSN dan KPPA teliti cadangan penjawat awam bekerja daripada rumah - Fahmi  | Subsidi kerajaan naik kepada RM3.2 bilion daripada RM700 juta sebulan untuk petrol dan diesel - Amir Hamzah | Kerajaan berusaha memastikan bekalan bahan api berterusan selepas Mei - Amir Hamzah | 

Pasaran Getah Kuala Lumpur Ditutup Tinggi Dipacu Pemulihan Harga Minyak Mentah

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur melantun semula untuk ditutup tinggi pada Khamis, disokong oleh pemulihan harga minyak mentah di tengah-tengah isyarat bercampur-campur daripada pasaran niaga hadapan getah serantau.

Seorang peniaga berkata harga getah juga terus disokong oleh bekalan yang semakin terhad seperti yang ditunjukkan oleh statistik dan laporan yang mencatatkan penurunan dalam pengeluaran.

“Bagaimanapun, kenaikan seterusnya tersekat berikutan kebimbangan terhadap inflasi yang berpunca daripada konflik yang semakin meningkat di Asia Barat, serta minat belian yang lemah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga minyak melonjak pada Khamis apabila Iran meningkatkan serangan ke atas infrastruktur-infrastruktur minyak dan pengangkutan di seluruh Asia Barat, mencetuskan kebimbangan konflik itu akan berlanjutan dan mengganggu aliran minyak melalui Selat Hormuz.

Pada masa ini, harga minyak mentah Brent meningkat 6.16 peratus kepada US$97.63 setong.

“Selain itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan pengeluaran getah asli Malaysia menurun 0.4 peratus kepada 28,579 tan pada Januari 2026 daripada 28,684 tan pada Disember 2025 dan susut 5.9 peratus daripada 30,357 tan tahun ke tahun,” katanya.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 meningkat 0.5 sen kepada 790 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut lima sen kepada 660 sen sekilogram.

-- BERNAMA