BERITA TERKINI   Perolehan Gamuda Bhd melonjak kepada RM4.30 bilion bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2026 daripada RM3.90 bilion bagi suku sama tahun kewangan 2025 | Untung bersih Gamuda Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2026 meningkat kepada RM229.52 juta daripada RM218.84 juta pada suku sama tahun kewangan 2025 | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM150 juta baik pulih Baraj Sungai Sarawak - PM Anwar | KSN, PETRA diminta teliti pendekatan menyeluruh atasi banjir, bekalan air di Sarawak - PM Anwar | Sultan Selangor titah rakyat bersabar tunggu pengumuman tarikh Aidilfitri, jangan percaya spekulasi - Istana Alam Shah | 

Negara Pengeksport Minyak Turut Terkesan Dengan Lonjakan Harga Minyak Dunia

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Kenaikan harga minyak dunia bukan sahaja memberi tekanan kepada negara pengimport minyak, malah turut memberi kesan kepada negara pengeluar minyak seperti Malaysia, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata walaupun banyak pihak beranggapan negara pengeluar minyak seperti Malaysia akan memperoleh keuntungan besar apabila harga minyak meningkat namun realitinya keadaan itu lebih kompleks.

Apabila harga minyak meningkat, lazimnya wujud tiga kesan utama kepada ekonomi, katanya.

“Pertama, harga barang boleh naik. Apabila kos pengangkutan meningkat, harga barang yang sampai ke Malaysia juga boleh meningkat.

“Barang yang dihasilkan dalam negara juga boleh terkesan kerana banyak bahan mentah dan komponen datang dari luar negara,” katanya dalam video menerusi hantaran di platform X, hari ini.

Tengku Zafrul berkata kesan kedua adalah kemungkinan ekonomi dunia menjadi lebih perlahan.

“Apabila harga minyak naik, kos perniagaan meningkat. Ada syarikat yang mengurangkan pengeluaran dan ada juga yang menangguhkan pelaburan.

“Apabila ekonomi dunia menjadi perlahan, permintaan terhadap eksport Malaysia juga boleh terjejas,” katanya.

Beliau berkata kesan ketiga pula adalah impak kenaikan harga minyak tidak sama bagi setiap negara.

“Sekitar 80 peratus negara di dunia ialah pengimport minyak, jadi bagi kebanyakan negara, harga minyak yang tinggi sebenarnya memberi tekanan kepada ekonomi mereka,” katanya.

Tengku Zafrul berkata bagi Malaysia, kesannya adalah bercampur-campur kerana negara memperoleh pendapatan tambahan daripada sektor minyak, namun pada masa sama perlu menanggung kos subsidi yang tinggi.

-- BERNAMA