BERITA TERKINI   Gempa bumi lemah bermagnitud 3.2 dikesan di Batu Pahat pada 6.07 petang ini - MetMalaysia | Kadar baharu Program Tanam Semula Getah RISDA untuk Semenanjung dan Sabah akan diumum dalam tempoh terdekat - TPM Ahmad Zahid | Kadar baharu bantuan Program Tanam Semula Getah RISDA Sarawak tahun ini naik kepada RM23,000 sehektar- TPM Ahmad Zahid | 

Rentak Harian Kota Hanoi Tetap Rancak Meskipun Seruan BDR Demi Jimat Kos Bahan Api

Daripada Nur Athirah Mohd Shaharuddin

HANOI, 14 Mac (Bernama) -- Ketika gelora perang di Asia Barat mencetuskan lonjakan harga minyak dunia, masyarakat Vietnam dilihat seolah-olah terus menjalani kehidupan tenang dan tidak terkesan dengan tekanan inflasi yang menyusul, terutama sebagai negara yang bergantung kepada import minyak mentah.

Pemandangan santai penulis yang sedang dalam tugasan luar negara di sini mendapati penduduk tempatan seakan tidak menyedari kesan krisis global yang berlaku kira-kira 6,000 kilometer dari sini.

Deruman enjin motosikal, lori dan kereta memenuhi jalan raya untuk saling berlumba menuju destinasi masing-masing seperti lazimnya.

Aktiviti urus niaga terus berjalan rancak. Pasar dan gerai tepi jalan menjadi pusat kesibukan yang riuh-rendah sementara penduduk meneruskan rutin harian membeli barangan dapur dan keperluan harian.

Anak-anak muda berkumpul di sepanjang jalan dan di kafe, menikmati masa terluang bersama-sama sahabat handai walaupun peluru senjata masih bertempur di langit di Asia Barat.

Hakikatnya, gangguan bekalan bahan api yang berlaku jauh dari sini, terutama di Selat Hormuz yang menjadi laluan penting kapal tangki minyak termasuk yang menuju ke Asia, telah diserang sekali gus boleh memberi kesan kepada rakyat biasa Vietnam.

Serangan terhadap kapal tangki minyak di kawasan itu boleh menyebabkan harga import minyak meningkat, sekali gus membawa kesan langsung kepada harga barangan dan perkhidmatan.

Harga minyak import yang tinggi akan memcetuskan gelombang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, keadaan itu boleh membawa tamparan hebat terhadap kehidupan 100 juta penduduk seandainya perang ini berpanjangan.

Seruan kerajaan  supaya rakyatnya bekerja dari rumah (BDR) bagi menjimatkan kos bahan api kerana perang di Asia Barat telah mengganggu bekalan minyak dunia dan menjadi hal yang membingungkan penulis apabila mendapati warga di sini seolah-olah tidak mempedulikannya.

Penulis mendapati keriuhan bunyi hon kenderaan yang tidak putus-putus, kesesakan lalu lintas dan hiruk-pikuk terus memenuhi atmosfera kota Hanoi seperti biasa.

Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Vietnam telah menggalakkan rakyat supaya BDR susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.

Menurut laporan, harga petrol di Vietnam naik sebanyak 32 peratus, diesel meningkat 56 peratus dan minyak tanah pula melonjak sebanyak 80 peratus pada akhir bulan lepas.

Penulis berpandangan rakyat Vietnam tidak begitu cenderung untuk BDR memandangkan sektor perkhidmatan dan pembuatan merupakan tunjang utama ekonomi negara ini.

Kedua-dua sektor tersebut memerlukan banyak tugas dan tanggungjawab untuk dilaksanakan secara bersemuka supaya operasi pembuatan dan perkhidmatan dapat terus berjalan seperti biasa.

Tambahan pula, seruan kerajaan supaya orang ramai BDR hanyalah berbentuk galakan, bukannya arahan wajib yang perlu dipatuhi.

Seperti yang diperhatikan penulis, rutin harian warga di kota Hanoi ini tidak banyak bezanya daripada hari-hari lain sejak penulis menjejakkan kaki di negara ini beberapa hari lepas.

Namun, mungkin akan tiba suatu masa apabila orang kebanyakan terpaksa mengikat perut tatkala harga barang melambung, menekan isi dompet manakala kuasa membeli kian menipis.

Pada ketika itu, mereka mungkin terpaksa BDR.

Pelancongan merupakan nadi bagi pendapatan Vietnam. Ketika berkunjung ke beberapa lokasi, penulis menyaksikan pelancong hadir dari pelbagai penjuru dunia, dari Jepun, Korea Selatan, Filipina dan China, malah dari benua Eropah.

Dalam penerbangan yang sama menuju Hanoi, seorang penumpang dari Malaysia berkongsi tujuan perjalanannya adalah untuk urusan kerja.

Beliau bersama-sama pasukannya kerap berulang-alik ke Vietnam demi perniagaan.

Namun kali ini, harga tiket penerbangan terasa lebih mahal berbanding tempoh yang sama tahun lepas dan antara puncanya adalah konflik yang sedang bergolak di Asia Barat, yang menaikkan caj bahan api dan tambang penerbangan, katanya.

Lebih mengejutkan apabila dua peserta Vietnam dalam sebuah program yang dianjurkan oleh sebuah syarikat kurier antarabangsa terkemuka, serta seorang warganegara Hong Kong yang bekerja di Vietnam, ternyata tidak mengetahui pengumuman kerajaan mengenai inisiatif BDR.

Nhu Phan, 31, memberitahu penulis bahawa beliau sedar mengenai kenaikan harga bahan api global termasuk di Vietnam serta konflik di Asia Barat namun tidak mengetahui pengumuman BDR oleh kerajaan negaranya.

Apabila ditanya sama ada beliau lebih suka BDR atau di pejabat seandainya diberi pilihan, Phan yang memegang jawatan Pengurus Akaun di sebuah syarikat swasta berkata beliau lebih gemar sistem kerja hibrid.

“Bagi saya, saya perlu menguruskan pasukan. Jadi sukar untuk menguruskan mereka secara jarak jauh. Tugasan itu akan menjadi tidak begitu efisien,” katanya.

Ditanya mengenai kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku kekurangan bekalan bahan api dan kenaikan harga minyak di Vietnam, beliau berkongsi pandangan bahawa walaupun menyedari kenaikan harga dalam tempoh hanya seminggu namun, perkara yang lebih membimbangkannya adalah inflasi.

“Kenaikan harga bahan api akan menjejaskan semua kos, seperti makanan dan gaya hidup. Jadi kami tidak terlalu risau mengenai bahan api itu sebaliknya lebih risau tentang inflasi,” katanya.

Memandangkan cadangan kerajaan negara ini supaya warganya BDR hanyalah pilihan dan bukan kewajipan, ramai yang setakat ini memilih untuk tidak berbuat demikian.

Susulan itu, aktiviti harian, perniagaan dan perkhidmatan termasuk sektor pelancongan terus berjalan seperti biasa namun, ini mungkin terlalu awal bagi Vietnam.

Arus boleh berubah pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi bagi sebuah negara yang mengimport sejumlah besar minyak mentah dan produk petroleum.

-- BERNAMA