BERITA TERKINI   Pelaburan Intel di Malaysia bakal berkembang dengan kompleks pembungkusan termaju dan pembuatan pemasangan akan bermula operasi pada lewat tahun ini - PM Anwar  | Pemandu e-hailing, P. Mahendra Bhoopaty, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu ketenteraman awam pada 27 Feb | Arun Dorasamy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jawi atas pertuduhan membuat kenyataan sebabkan kegentaran awam tahun lepas | Zamri Vinoth didakwa buat kenyataan timbul kegentaran awam semasa perhimpunan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Sedikit Lebih Rendah Menjelang Mesyuarat Fed

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah pada Isnin apabila pedagang dilihat bersikap berhati-hati menjelang kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat mengambil pendekatan lebih agresif dalam mesyuarat minggu ini.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata dengan kenaikan harga minyak baru-baru ini serta situasi geopolitik yang masih tidak menentu, pelabur mula mempersoalkan sama ada tiada pemotongan kadar faedah dijangka berlaku tahun ini.

“Sekiranya Fed hanya menyingkirkan kecenderungan pelonggaran dan memberi isyarat bahawa kadar faedah akan kekal tinggi untuk tempoh lebih lama, hasil sebenar boleh meningkat dan dolar AS mungkin mendapat permintaan.

“Dalam keadaan ini, emas selalunya menghadapi tekanan jangka pendek kerana kos peluang memegang aset tanpa pulangan meningkat,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan, kontrak Mac 2026 turun kepada US$5,000.10 setiap auns troy berbanding US$5,103.80 pada Jumaat lepas, April 2026 merosot kepada US$5,018.90 berbanding US$5,122.60, manakala Mei 2026 jatuh kepada US$5,038.20 daripada US$5,141.80 sebelum ini.

Kontrak Jun, Ogos dan September 2026 juga ditutup lebih rendah pada US$5,072.10 setiap auns troy berbanding US$5,175.70 pada Jumaat lalu.

Jumlah dagangan meningkat kepada 15 lot berbanding lapan lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 89 kontrak berbanding 78 kontrak sebelum ini.

Harga emas fizikal pula ditetapkan pada US$5,044.60 setiap auns troy pada penetapan harga sebelah petang oleh Persatuan Pasaran Jongkong London pada 13 Mac 2026.

-- BERNAMA