BERITA TERKINI   Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | Paramount Corporation beli tanah komersial pegangan bebas di Kuala Lumpur daripada IOI Properties dengan harga RM257.88 juta | Unit Solarvest raih kontrak EPCC untuk bangunkan projek LSS5+ di Padang Siding, Perlis bernilai RM89.5 juta | 

Keuntungan Bersih Top Glove Melonjak Kepada RM30.76 Juta, Pendapatan Naik 14 Peratus

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Keuntungan bersih Top Glove Corporation Bhd melonjak kepada RM30.76 juta pada suku kedua berakhir 28 Feb 2026 berbanding RM30.28 juta yang dicatatkan dalam suku yang sama tahun lepas.

Pendapatan naik 14 peratus kepada RM1.0 bilion daripada RM883.65 juta selepas dipacu oleh pesanan jualan yang lebih kukuh merentasi rantau-rantau dunia, menurut pengeluar sarung tangan terbesar di dunia itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia.

“Eropah menerajui jualan, yang mana jualan memuncak pada suku tersebut, mencerminkan perolehan semula bahagian pasaran dan keyakinan pelanggan yang berterusan terhadap Top Glove.

“Penggunaan lebih tinggi sebanyak 89 peratus menyokong lagi kecekapan kos dan peningkatan produktiviti, meningkatkan daya saing walaupun harga jualan purata melemah sejajar dengan penurunan harga bahan mentah,” tambahnya.

Top Glove berkata prestasinya telah diimbangi oleh kelemahan mendadak dalam dolar US sejak pertengahan suku kedua tahun kewangan 2026 walaupun terdapat dasar lindung nilai yang berhemat dan konsisten, kejatuhan mata wang itu tidak dijangka akan mengehadkan keupayaan program lindung nilai bagi mengurangkan kesan sepenuhnya.

 

"Bagaimanapun, penambahbaikan berterusan dalam pengurusan kos dan kecekapan kualiti, bersama-sama dengan kadar penggunaan yang lebih tinggi, membantu mengimbangi sebahagian besar impak negatif mata wang," katanya.

Bagi separuh pertama berakhir 28 Feb 2026, keuntungan bersih Top Glove menokok kepada RM69.34 juta berbanding RM35.76 juta yang dicatatkan pada separuh pertama tahun kewangan 2025, manakala hasil bertambah kepada RM1.89 bilion daripada RM1.77 bilion sebelumnya.

Pengarah Urusan Lim Cheong Guan dalam satu kenyataan berkata kumpulan itu dirangsang oleh pertumbuhan jumlah dagangan yang kukuh pada suku berkenaan selepas disangga oleh pertumbuhan permintaan sarung tangan yang berterusan dan keberkesanan disiplin operasinya.

“Walaupun pertukaran asing telah menjejaskan prestasi kami, usaha gigih kakitangan kami dalam menyampaikan kualiti, kecekapan kos serta kecemerlangan perkhidmatan membantu mengimbangi impak dengan ketara.

"Persekitaran global kekal lancar disamping perkembangan geopolitik yang berterusan, dan kami akan terus menguruskan faktor luaran ini secara berhemat selain mengekalkan operasi yang stabil," katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Tan Sri Lim Wee Chai berkata Top Glove akan terus memberi tumpuan kepada kekuatan dalaman termasuk kualiti, kecekapan kos dan penyampaian perkhidmatan, di tengah-tengah situasi geopolitik semasa termasuk konflik di Asia Barat, yang telah mewujudkan ketidaktentuan yang ketara merentasi pasaran, rantaian bekalan dan logistik.

“Selagi kami kekal berdisiplin dalam ruangan ini, berwaspada dan bersatu padu, bukan sahaja kami mampu menangani cabaran mendatang, malah merebut peluang yang ada,” katanya.

 

-- BERNAMA