BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Persatuan Penghantar Fret Labuan Optimis Terhadap Prestasi Megah Port

Oleh Jaillani Hasan

LABUAN, 18 Mac (Bernama) -- Persatuan Penghantar Fret Labuan (LFFA) menzahirkan keyakinannya terhadap prestasi Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) dalam mengurus dan mengendalikan operasi di Pelabuhan Labuan.

Presiden LFFA Prunella Phoong berkata persatuan itu telah menunjukkan peningkatan dari segi kecekapan, kemudahan dan penyampaian perkhidmatan sejak MPM mengambil alih pelabuhan berkenaan pada 2020.

“Kami telah menyaksikan kemajuan yang stabil dalam operasi pelabuhan, terutamanya dari segi kecekapan pengendalian kargo, masa pemulihan dan kualiti perkhidmatan secara keseluruhan, yang telah menyumbang secara positif kepada ekosistem logistik dan perdagangan di Labuan.

“Kami berasa terdorong dengan penambahbaikan yang dilaksanakan oleh MPM sejak mengambil alih operasi pada 2020. Penambahbaikan dalam kemudahan dan perkhidmatan telah mengukuhkan keyakinan dalam kalangan industri penghantaran barangan dan pengguna pelabuhan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Phoong menambah pendekatan proaktif MPM dalam libat urus dengan pemain-pemain industri (pengguna pelabuhan) dan menangani cabaran operasi telah membantu mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan boleh dipercayai untuk aktiviti maritim dan logistik di pulau bebas cukai itu.

Beliau juga menyambut baik pemeteraian Perjanjian Lanjutan Operasi, Kemudahan dan Pengurusan serta Perjanjian Pemajakan antara MPM dan Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) baru-baru ini, yang disifatkan sebagai langkah positif ke arah memastikan kesinambungan dan kestabilan jangka panjang dalam operasi pelabuhan.

“Perjanjian lanjutan ini mencerminkan keyakinan pihak berkuasa terhadap keupayaan MPM dan memberi jaminan kepada pihak berkepentingan industri bahawa penambahbaikan dan pelaburan yang sedang dijalankan akan diteruskan,” katanya.

Perjanjian itu, yang berkuat kuasa 1 April, 2026 hingga 31 Mac, 2032, menekankan komitmen kedua-dua pihak, MPM dan LPA untuk terus meningkatkan daya saing Pelabuhan Labuan sebagai pintu masuk maritim utama di rantau ini.

“Sejak mengambil alih operasi, MPM telah melaksanakan pelbagai nak taraf ke atas infrastruktur pelabuhan dan memperkenalkan penambahbaikan operasi yang bertujuan meningkatkan kecekapan, termasuk sistem pengendalian kargo yang lebih baik dan memperkukuh penyelarasan dengan pihak berkepentingan yang relevan,” katanya.

Prestasi syarikat itu juga telah mendapat pengiktirafan daripada pemain-pemain industri, termasuk LFFA dan badan luar seperti Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah (CILT), yang mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap peranannya dalam merancakkan semula sektor maritim Labuan.

Phoong berkata persatuan itu tetap berharap kerjasama berterusan antara MPM, LPA dan pihak berkepentingan industri akan membantu mengembalikan kedudukan Pelabuhan Labuan sebagai hab perdagangan dan logistik serantau yang dinamik dan berdaya saing.

-- BERNAMA