Maybank Salur Pinjaman S$65 Juta Untuk Projek Ladang Telur Keempat Singapura

SINGAPURA, 20 Mac (Bernama) -- Maybank memberikan kemudahan pinjaman berjangka sehingga S$65 juta (S$1 = RM3.08) kepada ISE Foods Holdings (IFH) sebagai satu-satunya bank pembiaya untuk membiayai sebahagian pembangunan ladang telur keempat Singapura (SG4EF).

IFH ialah anak syarikat Ellipsiz Ltd (Ellipsiz) yang tersenarai di SGX dan projek ini merupakan langkah penting untuk IFH dan landskap pengeluaran makanan tempatan Singapura.

Ladang berskala besar itu dibina di tapak yang akan dikenal pasti hasil kerjasama dengan Agensi Makanan Singapura (SFA) dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

“Dengan meningkatkan pengeluaran telur tempatan, projek ini akan memajukan matlamat negara untuk menghasilkan 30 peratus keperluan protein negara menjelang 2035, memperkukuh keselamatan makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada import,” kata Maybank dan Ellipsiz dalam kenyataan bersama hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Singapura Alvin Lee berkata pembiayaan ini menekankan peranan Maybank sebagai rakan kongsi dalam mencapai keutamaan negara dan selaras dengan mandat ekonomi baharu dan kemampanan bank itu.

"Projek SG4EF akan menguna pakai teknologi pertanian canggih dan penyelesaian gudang pintar, dan layak sebagai pinjaman sosial di bawah kategori keselamatan makanan dan sistem makanan mampan kami. Bersama Ellipsiz, kami komited untuk membangunkan ekosistem makanan yang bersedia untuk masa depan di Singapura," tambahnya.

-- BERNAMA