Ringgit Diunjur Kekal Stabil Pada Paras 3.95 Berbanding Dolar AS Minggu Depan

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Ringgit dijangka kekal stabil minggu depan dengan diniagakan pada sekitar paras 3.95 berbanding dolar AS dalam persekitaran musim perayaan.

Pasaran di Malaysia ditutup semalam dan akan turut ditutup pada Isnin, 23 Mac sempena sambutan Aidilfitri.

Kenanga Investment Bank Bhd berkata pendirian Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang bersifat terkawal namun cenderung kepada kelonggaran dasar telah mengehadkan kenaikan selanjutnya dolar AS sekali gus menyumbang kestabilan pasaran.

Menerusi nota penyelidikan pada Khamis, bank pelaburan itu memaklumkan pelabur kekal berwaspada sementara perubahan dasar Fed dijangka berlaku pada suku terakhir tahun ini.

“Kami menjangka konflik di Asia Barat berlarutan sementara Fed tidak terlalu reaktif terhadap lonjakan inflasi sementara pada masa ini.

“Status Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih memberikan lindung nilai secara struktur memandangkan harga minyak mentah Brent telah mengambil kira faktor risiko sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata gandingan ringgit-dolar AS dijangka diniagakan tidak berubah minggu depan.

Beliau berkata pelabur sedang memantau ketidaktentuan berkaitan perang yang sedang berlaku di Iran.

Bagi perbandingan secara mingguan, ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS kepada 3.9330/9415 pada Khamis daripada 3.9365/9410 pada akhir minggu dagangan sebelumnya.

Mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama minggu ini.

Ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 2.4716/4771 daripada 2.4683/4715 pada Jumaat minggu lepas, merosot berbanding pound Britain kepada 5.2246/2359 daripada 5.2214/2273 sebelumnya dan susut berbanding euro kepada 4.5139/5237 daripada 4.5093/5144.

Bagaimanapun, ringgit menunjukkan prestasi kukuh berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0671/0740 daripada 3.0730/0767 pada akhir minggu lepas, naik berbanding baht Thailand kepada 11.9872/12.0204 daripada 12.1862/2062 Jumaat lepas, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 231.4/232.0 daripada 232.1/232.5 sebelumnya dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.54/6.56 daripada 6.59/6.60.

-- BERNAMA