BERITA TERKINI   Kontrak penganjuran MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang dilanjutkan lima tahun hingga 2031 - Menteri KBS | Malaysia perlu persiapkan tenaga kerja hadapi era AI melalui pendidikan lebih berkualiti, latihan kemahiran dan pembangunan bakat - PM Anwar | Keputusan Ant International wujudkan pusat operasi globalnya di Malaysia cerminkan keyakinan meningkat terhadap kekuatan negara dalam bidang teknologi, inovasi dan AI - PM Anwar | Teknologi, kewangan dan inovasi perlu wujudkan pekerjaan berkualiti, memperkukuh industri tempatan, menyokong perniagaan dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan mampu milik - PM Anwar | Lebih 59,000 bekas pelajar tajaan JPA yang tamat pengajian pada atau sebelum 31 Dis 2024 layak memohon Opsyen PBU Akademik Fasa Kedua - JPA | 

Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Pasaran getah dijangka diniagakan tidak berubah dengan kecenderungan meningkat memandangkan pasaran terus memantau ketidaktentuan di sebalik konflik Asia Barat yang sedang berlaku, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata konflik itu mula memberi kesan yang besar kepada industri global, perdagangan dan kestabilan ekonomi secara keseluruhan.

“Peperangan melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel menyebabkan gangguan kepada sektor perdagangan,” katanya.

Low berkata laluan bekalan minyak dan gas terutamanya melalui Selat Hormuz, menghadapi gangguan ketara, seterusnya menjejaskan penghantaran subproduk berkaitan minyak yang penting untuk pelbagai sektor pembuatan.

Bagaimanapun, kesan segera terhadap permintaan getah sebahagiannya diimbangi oleh penggunaan global yang lebih perlahan, katanya.

“Buat masa ini, kekurangan yang terhasil diimbangi oleh permintaan lebih lemah akibat perang. Ini mewujudkan keseimbangan sementara tetapi ketidakpastian kekal tinggi,” katanya.

Low berkata cuti Aidilfitri yang panjang berkemungkinan akan melemahkan aktiviti perdagangan dalam jangka pendek.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia atau SMR 20 susut 26.5 sen kepada 785 sen sekilogram manakala lateks pukal kekal menokok 12 sen kepada 677 sen sekilogram.

-- BERNAMA