BERITA TERKINI   Ringgit susut kepada 3.9620/9670 berbanding dolar AS daripada 3.9530/9585 pada Selasa | MIC kekal bersama Barisan Nasional, tidak sertai Perikatan susulan perubahan kepimpinan - Saravanan | JPA diarah rangka program tingkat profesionalisme PDRM, kebajikan jadi keutamaan termasuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi - PM Anwar | Kerajaan beri jaminan tidak campur tangan dalam tugas PDRM, akan beri dorongan untuk bertindak terus dengan berani - PM Anwar | Perolehan KDN yang dibekukan sebelum ini kini dilepaskan semula - PM Anwar | 

Empire Premium Food Bakal Disenarai Di Pasaran Utama Sasar Kumpul RM152.6 Juta Menerusi IPO

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Syarikat makanan dan minuman Empire Premium Food Bhd menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM152.6 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 17 April 2026.

Pengendali dan pemilik jenama Empire Sushi itu berkata daripada jumlah hasil itu, sebanyak RM79.1 juta atau 51.8 peratus akan diperuntukkan bagi pengembangan 56 cawangan baharu di bawah konsep ‘grab-and-go’ dan makan segera dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Sebanyak RM12.6 juta lagi (8.3 peratus) diperuntukkan untuk menaik taraf dan membaik pulih cawangan sedia ada.

“Sebanyak RM52.1 juta (34.1 peratus) lagi akan digunakan untuk modal kerja, dengan baki RM8.8 juta (5.8 peratus) diperuntukkan untuk menampung yuran dan perbelanjaan berkaitan IPO,” katanya dalam kenyataan.

Bercakap pada sidang akhbar selepas pelancaran prospektus syarikat di sini hari ini, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Empire Premium Nicole Lim berkata strategi pengembangan kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada operasi meluas di seluruh negara, termasuk lokasi trafik yang tinggi seperti pusat membeli-belah, lapangan terbang dan hab transit.

“Kami akan membuka sebanyak 56 lagi cawangan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, meliputi semua wilayah di Malaysia.

“Kami tidak menyasarkan kawasan tertentu memandangkan semua negeri mempunyai peluang dan akan menumpukan kepada lokasi utama berikutan kami mempunyai pasukan untuk menyokong operasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Lim Chung Liang berkata anggaran kos purata bagi setiap cawangan merangkumi pelbagai faktor selain pengubahsuaian, termasuk inflasi dan kos penyediaan operasi dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Secara purata, kos bagi setiap cawangan berbeza mengikut format, dengan cawangan makan segera menggunakan kos masing-masing antara RM900,000 hingga RM1 juta manakala cawangan grab-and-go kira-kira RM550,000 hingga RM600,000, termasuk inventori dan perbelanjaan modal lain,” katanya.

Daripada 363 juta saham, sebanyak 293 juta saham diperuntukkan untuk tawaran institusi yang merangkumi 137.5 juta saham tawaran untuk pelabur bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta 155.5 juta saham IPO yang terdiri daripada 7.5 juta saham tawaran dan 148 juta saham terbitan untuk pelabur institusi dan terpilih selain pelabur bumiputera yang diluluskan oleh MITI.

Bagi tawaran runcit, sebanyak 70 juta saham terbitan diperuntukkan, dengan 55 juta saham terbitan dikhaskan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian, termasuk 27.5 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada individu dan institusi bumiputera.

Sebanyak 15 juta saham terbitan lagi diperuntukkan kepada pengarah, pekerja yang layak dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

Selepas penyenaraian, modal saham terbitan Empire Premium akan meningkat kepada 1.1 bilion saham dengan permodalan pasaran sebanyak RM770 juta, berdasarkan harga IPO sebanyak 70 sen sesaham.

Permohonan untuk IPO dibuka hari ini dan akan ditutup pada jam 5 petang, 31 Mac 2026.

Maybank Investment Bank Bhd berperanan sebagai penasihat utama, ejen penempatan tunggal, penyelaras tunggal dan penaja jamin tunggal bagi pelaksanaan IPO ini.

-- BERNAMA